NIBONG TEBAL- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa menandatangani Polisi Perlindungan Murid di sekolah dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya minggu hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terus terpelihara khususnya berkaitan isu buli, gangguan seksual, penderaan serta kesihatan mental.
Menurutnya, pihak kementerian memberi ruang kepada sekolah dan ibu bapa sepanjang minggu pertama pembukaan sesi persekolahan bagi membolehkan pelaksanaan awal polisi berkenaan difahami sepenuhnya.
“Kita akan minta ibu bapa dan semua pihak berkepentingan untuk menandatangani Polisi Perlindungan Kanak-Kanak ini segera.
“Minggu ini kita beri peluang dahulu memandangkan ia minggu awal pembukaan sekolah. Saya percaya menjelang minggu hadapan, semua pihak yang terlibat dapat dipastikan menandatangani polisi ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Barakbah di sini pada Selasa.
Terdahulu, Fadhlina menyerahkan BAP berjumlah lebih RM34 juta yang memberi manfaat kepada lebih 227,000 murid sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.
Tambah beliau, polisi berkenaan bukan sahaja memberi penekanan kepada pencegahan kes buli di sekolah malah merangkumi isu gangguan seksual, sebarang bentuk penderaan serta aspek yang berkait rapat dengan kesihatan mental murid.
“Semua elemen ini terangkum dalam Polisi Perlindungan Murid yang digariskan oleh KPM bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
"Komitmen semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan komuniti amat penting bagi memastikan pelaksanaan polisi tersebut berkesan serta dapat melindungi murid secara menyeluruh.
Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan memperkenalkan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di sekolah sebagai langkah memperkukuh keselamatan serta kebajikan murid, sekali gus memastikan tiada kes buli di sekolah.
Beliau berkata, pelaksanaan polisi itu adalah langkah penting untuk membentuk ekosistem pendidikan yang selamat dan terlindung melalui tanggungjawab bersama.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM akan menyiasat aduan ibu bapa berkaitan isu ketidakselarasan sistem permohonan sekolah berasrama dan meminta maklumat lanjut bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.