PUTRAJAYA - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana memfitnahnya berhubung isu Kristianisasi dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), enam tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azimah Omar (kini Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah, 47.
Pada 17 Oktober 2025 lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan rayuan daripada kedua-dua pihak.
Selain Wei Jiet, Hannah turut diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa sebagai fitnah.
Pada 2020, Hannah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan di forum itu pada 30 Januari 2020.
Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduh beliau menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan mubaligh agama itu dan Yahudi demi menjejaskan Islam serta Malaysia, selain mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.
AKAN MENYUSUL