PUTRAJAYA – Keluarga seorang remaja berusia 17 tahun yang dikenali sebagai CJ telah menyerahkan borang permohonan kad pengenalan (MyKad) kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, pada Selasa.
Peguam keluarga CJ, N Surendran berkata, tindakan itu selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan remaja tersebut sebagai warganegara Malaysia.
“Berdasarkan perintah mahkamah itu, CJ layak memohon dan menerima MyKad biru.
“Hari ini, borang permohonan telah diserahkan dan diterima oleh JPN,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat JPN di sini.
Surendran berkata, perintah mahkamah kedua turut menetapkan bahawa pihak berkuasa hendaklah mengeluarkan MyKad biru dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permohonan dibuat oleh pihak pemohon.
Menurutnya, penerimaan permohonan tersebut membolehkan CJ meneruskan kehidupannya seperti urusan berkaitan pendidikan, termasuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti serta menikmati hak sebagai warganegara Malaysia.
Beliau memaklumkan, walaupun terdapat kekangan pada peringkat awal, pihak JPN akhirnya bersetuju menerima permohonan itu selepas penjelasan lanjut dibuat berhubung perintah mahkamah yang telah berkuat kuasa.
“Perkara ini sepatutnya dapat diselesaikan tanpa kesulitan yang berpanjangan.
“Proses pentadbiran perlu memudahkan rakyat, khususnya golongan bawah umur,” tegas beliau.
Surendran berkata, kes CJ turut mencerminkan situasi yang dihadapi oleh sebahagian kanak-kanak lain di negara ini yang masih berdepan isu kewarganegaraan walaupun berhak berdasarkan undang-undang.
Tambah beliau, tidak semua keluarga mempunyai kemampuan untuk membawa kes ke mahkamah bagi mendapatkan pengesahan status kewarganegaraan.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan harapan agar JPN mematuhi tempoh masa yang ditetapkan mahkamah bagi memastikan MyKad biru dikeluarkan dalam tempoh 30 hari seperti yang diarahkan.
“Ini merupakan satu langkah penting selepas perjuangan yang panjang, dan kami berharap proses seterusnya berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu, JPN pada Isnin menegaskan bahawa pihaknya tidak dapat meneruskan proses mencetak dan mengeluarkan MyKad CJ berikutan masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap sehingga 12 Januari.
Menurut jabatan itu, tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan.
Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja terbabit.