AMPANG – Dua lagi perangkap kamera dipasang manakala pemantauan menggunakan dron turut dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini susulan dakwaan kehadiran harimau di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi pemantauan kini memasuki hari kelima sejak dimulakan pada 9 Oktober lalu.
Menurutnya, anggota Perhilitan meneruskan rondaan darat di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri selain menjalankan semakan jejak serta pemantauan udara menggunakan dron.
“Tiga unit perangkap kamera telah dipasang pada 10 Oktober (Jumaat) lalu dan pada 12 Oktober (Ahad) ditambah dua unit lagi.
“Pemeriksaan setakat ini hanya mengesahkan kewujudan jejak babi hutan dan anjing, tiada indikasi kehadiran harimau,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas mengenai status pengesahan kehadiran harimau, Abdul Kadir berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana semakan rakaman dan rondaan tidak menemui sebarang imej atau tanda fizikal yang jelas mengesahkan kehadiran haiwan itu.
Jelasnya, antara tanda yang ditemui ialah tapak kaki babi hutan dan anjing.
“Satu kesan cakar pada pokok turut direkodkan awal, namun tiada bukti sokongan lain yang mengaitkannya dengan harimau,” ujarnya.
Tambahnya, Ukay Perdana bukan merupakan kawasan keliaran utama harimau belang, namun kawasan tersebut bersempadan dengan bukit berhutan yang berpotensi menjadi laluan pergerakan hidupan liar dari arah Hulu Langat ke kawasan hutan sekitarnya.
“Justeru, pemantauan berterusan dan semakan perangkap kamera akan diteruskan sepanjang bulan ini,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Jabatan Perhilitan menerima aduan daripada penduduk pada 8 Oktober lalu yang mendakwa terdengar bunyi menyerupai harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri berkenaan.
Berikutan itu, pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.