SHAH ALAM - Tanpa tindakan tegas seperti hukuman rotan terhadap murid dan pelajar yang melanggar disiplin, sistem pendidikan negara dikhuatiri akan terus kehilangan peranannya sebagai benteng kawalan sosial, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja bawah umur.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Roslizam Hassan berkata, atas dasar tersebut, hukuman rotan wajar dikembalikan semula kepada guru sebagai satu bentuk disiplin yang berhemah.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut perlu ditetapkan dengan syarat guru-guru diberi latihan dan garis panduan yang jelas agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa.
“Majoriti guru tahu batasan mereka, tetapi disebabkan ketakutan terhadap tindakan undang-undang daripada ibu bapa, ramai memilih untuk berdiam diri dengan tidak menegur, tidak menegakkan disiplin, bahkan tidak lagi berani menunjukkan ketegasan.
“Apabila ini berlaku, sistem pendidikan kehilangan fungsi kawalan sosialnya. Maka, apa yang kita lihat hari ini iaitu kes buli, pergaduhan, malah jenayah di sekolah adalah sebahagian ‘hasil tuaian’ daripada keadaan di mana guru sudah hilang keberanian untuk mendidik secara tegas,” katanya kepada Sinar Harian.
Roslizam menegaskan, semua pihak harus memahami bahawa hukuman rotan bukan untuk menyakiti, tetapi untuk mendidik dan menimbulkan rasa hormat serta gerun terhadap peraturan sekolah.
Katanya, hukuman tersebut juga sebagai langkah terakhir selepas proses pendidikan gagal membentuk disiplin.
“Secara undang-undang, hukuman rotan masih dibenarkan dalam konteks pendidikan, tetapi hanya boleh dilaksanakan oleh pengetua atau guru besar, atau guru yang diberi kuasa.
“Ia mesti dilakukan secara tertutup, tidak menjatuhkan maruah murid, dan tidak sampai menyebabkan kecederaan. Hukuman yang melampau boleh dikategorikan sebagai salah laku jenayah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar diwujudkan undang-undang melindungi guru yang menjalankan tindakan disiplin dengan niat mendidik.
“Mereka adalah barisan hadapan dalam membentuk generasi berakhlak dan berdisiplin, bukan musuh kepada anak-anak kita,” katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, sebelum membahaskan tentang rotan, terdapat langkah asas yang jauh lebih penting perlu ditekankan iaitu pendidikan nilai dan agama mesti bermula dari rumah kerana sekolah bukan tempat menggantikan peranan keluarga, tetapi sebagai pelengkap.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, perbincangan lebih teliti antara pakar-pakar pendidikan, pakar undang-undang, tokoh politik dan masyarakat perlu dibuat sekiranya terdapat cadangan untuk mengembalikan hukuman rotan terhadap murid dan pelajar sekolah.
“Perlu dibincangkan sama ada sesuai atau tidak untuk mengembalikan tindakan merotan itu,” katanya.
Namun beliau berpandangan, hukuman rotan sudah tidak lagi sesuai pada masa kini.
“Mengikut prinsip pendidikan, pelajar tidak boleh ditekan emosinya. Kita boleh mendidik dengan memberi tunjuk ajar, nasihat dan pandangan. Jadi, kalau nak bertindak secara fizikal memang sekarang dah tak sesuai,” ujarnya.
Justeru menurut beliau, ibu bapa, komuniti dan agensi penguat kuasa perlu berganding bahu memberi kesedaran serta bimbingan kepada anak-anak untuk mengatasi isu sosial kerana ia merupakan isu berkaitan masyarakat.
Pada masa sama, katanya, kempen dan program seperti ceramah, perbincangan serta kerjasama antara sekolah dan pihak luar wajar diteruskan bagi memperkukuh pendidikan moral dan sosial dalam kalangan pelajar.