KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan Dasar Penggunaan Semula (Repurpose) dan Penggunasuaian (Adaptive Reuse) Bangunan Wilayah Persekutuan (RE_NEW) serta Garis Panduan Penggunaan Semula Bangunan Kuala Lumpur, bagi menghidupkan semula bangunan lama dan warisan agar terus bernilai serta berdaya ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelancaran dasar itu diadakan di Rumah Hijau, Taman Botani Perdana, bagi memperkenalkan pendekatan baharu yang menekankan kelestarian serta pemeliharaan identiti bandar.
Menurutnya, dasar berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan terhadap pemuliharaan bangunan warisan, malah berperanan mengurangkan jejak karbon serta memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan lebih mampan dan berbudaya.
“Jika sesebuah bangunan masih selamat, bernilai dari segi warisan dan mempunyai potensi ekonomi, maka pilihan paling wajar adalah penggunaan semula — bukan merobohkannya atas nama pembangunan baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, menerusi dasar tersebut, pelbagai insentif menarik turut ditawarkan kepada pemaju dan pengusaha termasuk pengurangan caj pembangunan, kelulusan laluan pantas, kadar sewaan berinsentif bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti, pengiktirafan karbon rendah dan geran padanan hijau.
Dr Zaliha menambah, pengenalan dasar itu merupakan kesinambungan daripada lawatannya ke Itali pada Mei lalu, apabila Wilayah Persekutuan diiktiraf sebagai bandar perintis konsep Baukultur di luar Eropah.
“Sering kali Perdana Menteri menyebut pemerhatian Mark Twain ketika pertama kali tiba di Washington DC, ‘hutan konkrit tetapi gersang budayanya’.
"Di Wilayah Persekutuan, kita mahu mengubah persepsi itu kepada bandar yang hidup dengan roh budaya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pelaksanaan dasar berkenaan.