SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Baginda bertitah, operasi sedia ada perlu dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Ketetapan itu dibuat selepas Sultan Shafaruddin berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah pada Isnin.
Dalam pada itu, baginda turut menitahkan satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan serta permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.
Baginda menegaskan, tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk mengeksport hasil penternakan tersebut.
Dapatan kajian itu pula perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.
"Baginda juga menegaskan kerajaan Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di kawasan Bukit Tagar.
"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
"Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu.