[VIDEO] 'Selangor pun tak cukup, macam mana nak eksport babi' - Izham

Iklan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ternakan babi di Selangor hanya mampu memenuhi 30 peratus keperluan buat golongan bukan Islam di negeri tersebut, bahkan sebelum wabak demam babi Afrika (ASF) melanda lagi.

Izham mengadakan sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkaitan isu penternakkan babi di Kuala Langat. Foto Bernama

Iklan
Iklan

Atas dasar itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, tidak timbul isu untuk mengeksport babi atau sebagainya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya angka populasi maksimum ternakan (SPP) babi diteliti semula dengan lebih tepat supaya tidak membawa kepada aktiviti eksport.

Iklan

“Sekarang ini kita di peringkat 30 peratus yang diternak untuk keperluan di Selangor. Jadi, tidak timbul isu eksport sebagaimana dimainkan pembangkang.

“Ada yang timbulkan kata Selangor nak jadi pengeksport babi terbesar, sejak bila pula? Saya tekankan tak pernah (berhasrat begitu)! Daripada mana mereka dapat angka begitu?

Iklan

“Nak eksport macam mana kalau keperluan (rakyat bukan beragama Islam) untuk negeri pun tak cukup,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor di sini pada Isnin.

Izham berpendapat bahawa isu berkenaan hanya dipolemikkan bagi mencetuskan sensitiviti dalam kalangan masyarakat, namun dalam masa sama menegaskan agar semua pihak tidak memainkan isu perkauman.

Beliau turut memberitahu, setakat ini dianggarkan 100,000 ekor babi diternak di Kuala Langat dan Sepang, melibatkan 115 ladang penternakan di kedua-dua daerah tersebut.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan membawa segala dapatan perbincangan selama 45 minit dengan Sultan Sharafuddin pada Isnin ke MMKN yang dijadualkan bersidang Rabu ini.

Sinar Harian pada Khamis lepas melaporkan, kerajaan Selangor akan memindahkan industri penternakan babi ke Bukit Tagar, yang dijangka mula beroperasi pada 2030.

Izham berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai langkah jangka masa panjang menangani isu pencemaran, wabak penyakit dan menjaga keharmonian masyarakat di kawasan penternakan sedia ada di Kampung Ladang Tumbuk Tanjung Sepat, Kuala Langat.