PUTRAJAYA – Isu jenayah seksual dalam kalangan remaja bukan sekadar berpunca daripada rasa ingin tahu, tetapi juga akibat kurangnya komunikasi berkesan antara anak-anak dengan ibu bapa.
Seorang ibu, Nooralina Ahmad berkata, ramai remaja akhirnya mencari maklumat tentang seks melalui media sosial atau rakan sebaya kerana tidak mendapat panduan sewajarnya daripada keluarga.
Katanya, masalah ini berlaku kerana ibu bapa tidak membina ikatan rapat sejak anak-anak masih kecil, sekali gus membuatkan mereka malu atau segan untuk berbincang tentang isu penting apabila meningkat usia.
“Pendidikan seks di sekolah memang ada, tetapi itu sahaja tidak cukup. Ibu bapa perlu mulakan lebih awal, seawal usia tujuh tahun, dengan ajar tentang sentuhan selamat dan tidak selamat.
“Bila umur 13 atau 14 tahun, bincanglah secara terbuka tentang maksud seks, risiko hubungan intim di usia muda, serta kesan undang-undang dan psikologi kepada mangsa dan pelaku,” katanya.
Menurutnya, topik sensitif seperti pornografi dan onani juga tidak boleh diketepikan kerana anak-anak kini mudah terdedah melalui internet atau kawan sebaya.
“Saya selalu berpesan, perasaan ingin menyayangi itu normal tetapi kawal diri. Belajar dulu kerana seks hanya halal selepas berkahwin. Waktunya akan tiba bila sudah matang,” jelasnya.
Nooralina turut menegaskan, gejala sosial ini berpunca daripada beberapa faktor seperti ibu bapa terlalu sibuk, tiada pendidikan agama serta moral yang mencukupi, dan contoh gaya hidup tidak baik dalam keluarga.
Sementara itu, seorang lagi ibu, Siti Nurazlinee Azmi berkata, kes jenayah seksual yang berlaku membuktikan anak-anak sedang berdepan krisis kawalan emosi akibat kurang bimbingan serta pemantauan.
“Remaja mudah terpengaruh dengan nafsu dan rasa ingin tahu. Bila tiada ruang komunikasi di rumah, mereka cari jawapan di tempat yang salah,” katanya.
Menurutnya, walaupun sekolah memberi asas pengetahuan, pendidikan agama, doa dan kasih sayang dalam keluarga tetap menjadi benteng paling kuat untuk melindungi anak-anak.
“Perbuatan itu dosa besar, merosakkan maruah dan masa depan. Jadi ibu bapa perlu jadi contoh terbaik kepada anak-anak,” ujarnya.