PONTIAN – Perjalanan hampir sejam ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, menjadi rutin bulanan buat pesakit kanser sarkoma sinovial, Mohamed Hafiz Mohamed Tahar, yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan tabung oksigen.
Kanser tisu lembut yang dikesan tiga tahun lalu itu menyebabkan kira-kira 20 peratus paru-parunya terpaksa dibuang, sekali gus mengubah kehidupan bapa kepada empat orang anak itu.
“Setiap kali nak ke hospital, kena ada orang lain bantu angkat tabung oksigen masuk dalam kereta. Tabung oksigen berat dan bila nak ke hospital, sekurang-kurangnya perlu dua orang bantu.
“Isteri saya, tidak pandai memandu kereta. Abang ipar akan bantu bawa saya dan isteri ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Api-Api.
Mohamed Hafiz yang kini berusia 49 tahun berkata, segalanya bermula pada pertengahan 2023 apabila lengan tangan kanannya membengkak dan terdapat ketulan sebesar bola tenis.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di beberapa klinik sebelum dirujuk ke Hospital Pontian dan HSI Johor Bahru, sebelum disahkan menghidap kanser tisu lembut.
Ujar Mohamed Hafiz, pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan menyebabkan pergerakan tangan kanannya kini sangat terhad dan sukar diangkat.
“Pada pertengahan 2024 saya mengalami batuk berpanjangan. Pemeriksaan X-ray mendapati terdapat cecair dalam paru-paru akibat kanser.
“Doktor terpaksa buang kira-kira 20 peratus paru-paru saya. Sejak itu saya bergantung sepenuhnya kepada tabung oksigen untuk bernafas,” katanya.
Mohamed Hafiz berkata, selepas enam kali menjalani rawatan kemoterapi dan 33 sesi radioterapi menyebabkan berat badannya menyusut daripada 55kg kepada 35kg.
“Kemoterapi paling teruk. Saya hilang selera makan, rambut gugur dan sebulan terpaksa duduk di hospital," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu van barang selama 30 tahun.