‘Kundasang Perak’ damaikan jiwa

Iklan
Suasana kampung yang dikelilingi sawah padi menghijau ditambah tali air jernih tempat kanak-kanak mandi manda menjadikan Homestay Labu Kubong, destinasi pelancongan desa penuh mempesona.

KUALA KANGSAR - Suasana kampung yang dikelilingi sawah menghijau, udara nyaman yang menyegarkan, tali air jernih tempat kanak-kanak mandi manda serta panorama bukit bukau yang mendamaikan jiwa.

Itulah keistimewaan Homestay Labu Kubong, sebuah perkampungan indah di sini yang digelar sebagai ‘Kundasang Perak’.

Iklan
Iklan

Labu Kubong kini menjadi destinasi pelancongan desa yang semakin mencuri perhatian, bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong antarabangsa.

Meor Samsudin bersama Noorshazlin, antara individu yang bertanggungjawab membawa nama Homestay Labu Kubong dikenali sebagai destinasi percutian bertaraf antarabangsa.

Iklan

Dengan konsep percutian berasaskan komuniti, pengunjung yang datang bukan sekadar bermalam, tetapi benar-benar menyelami kehidupan desa yang masih terpelihara keasliannya.

Homestay Labu Kubong mula beroperasi pada 2014 hasil inisiatif penduduk setempat yang mahu menghidupkan kembali rumah-rumah tradisional kampung.

Iklan

Pengerusi Koperasi Pengusaha Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar Berhad, Meor Samsudin Abu Hassan menjadi peneraju usaha tersebut selepas beliau bersara.

“Saya lihat banyak rumah tradisi di kampung ini masih kukuh, tetapi tidak didiami. Kebetulan pada waktu itu ada wakil Unit Pelancongan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) datang berbincang.

“Dari situlah tercetus idea untuk membangunkan program homestay. Seramai 19 penduduk menyertai peringkat awal, kemudian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hantar kami ke Negeri Sembilan untuk berkursus tentang pengurusan homestay,” katanya.

Apa yang menjadikan Labu Kubong begitu istimewa ialah suasananya yang menenangkan, udara nyaman, aliran tali air jernih yang mengundang nostalgia serta pemandangan sawah padi dan bukit bukau yang seakan melatari lukisan alam.

Aktiviti menghasilkan asam keping antara pengalaman unik, warisan turun-temurun yang jarang ditemui di tempat lain.

Perkampungan ini masih mengekalkan identiti tradisi, namun berjaya diangkat ke pentas pelancongan antarabangsa.

“Kami gunakan apa yang sudah ada di kampung ini iaitu sawah, bukit, sungai, tali air. Semua itu merupakan anugerah alam yang menjadikan Labu Kubong berbeza. Bila pelancong pulang, mereka bukan sekadar bawa gambar, tetapi pengalaman yang sukar dilupakan,” kata Meor Samsudin.

Hasil promosi awal bersama Tourism Malaysia, Homestay Labu Kubong berjaya menarik perhatian dunia dan menerima kunjungan 40 penulis blog antarabangsa dari negara-negara Asia pada 2015.

Nama Labu Kubong terus meniti di bibir pelancong apabila berjaya menganjurkan Badang Challenge hingga ke peringkat antarabangsa.

Kini, koperasi yang ditubuhkan khusus untuk mengurus homestay tersebut terus mengorak langkah, memastikan Labu Kubong bukan sekadar tempat bermalam, tetapi destinasi percutian desa yang lengkap dengan pelbagai tarikan.

Tidak hanya gah di peringkat tempatan, Homestay Labu Kubong diiktiraf sebagai antara yang terbaik apabila menerima Anugerah Inap Desa Terbaik Negeri dan Persekutuan pada 2017.

Lebih membanggakan, pada 2023, homestay ini diangkat sebagai penerima Anugerah Pelancongan Standard ASEAN dalam kategori inap desa pada majlis di Yogyakarta, Indonesia.

Pengiktirafan itu membuktikan Labu Kubong bukan sekadar destinasi desa biasa, tetapi setanding dengan produk pelancongan serantau.

Keunikan Homestay Labu Kubong terletak pada pengalaman hands-on yang ditawarkan kepada pengunjung.

Di sini, pelancong boleh memilih untuk tinggal bersama keluarga angkat dalam program homestay atau memilih konsep kampung stay iaitu rumah berasingan dalam kawasan sama yang memberikan lebih privasi.

Pengurus Koperasi, Noorshazlin Meor Samsudin menjelaskan, konsep ini membolehkan pelancong menyesuaikan pengalaman mengikut cita rasa masing-masing.

“Ada yang suka bangun awal pagi ikut tuan rumah menoreh getah dan ada yang nak cuba buat dodol atau bedak sejuk tradisional. Ada juga yang hanya mahu menikmati suasana kampung, mandi di tali air dan menikmati masakan kampung. Semuanya boleh dipilih oleh pengunjung berdasarkan bajet dan minat masing-masing,” katanya.

Bagi penggemar aktiviti desa, Homestay Labu Kubong menawarkan pengalaman membuat kuih tradisional, menanam sayur kampung, menghasilkan madu kelulut hingga ke bengkel besi dan kraftangan.

Antara tarikan paling unik ialah pengalaman membuat asam keping dan bedak sejuk asli, warisan turun-temurun yang jarang ditemui di tempat lain.

Bagi mereka yang mencari kelainan, jauh daripada hiruk-pikuk kota, Homestay Labu Kubong adalah destinasi wajib singgah, Kundasang versi Perak yang pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk tetamu.