KUALA LUMPUR – Dua inisiatif pelaburan baharu diumumkan Kerajaan Negeri Pahang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri itu, khususnya dalam sektor sumber asli serta pembangunan bandar moden.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek pertama membabitkan kerjasama antara Yayasan Pahang dan Bubbles O2 Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar air mineral tempatan yang akan melaksanakan pelaburan untuk mengembangkan operasi pengeluaran mereka di negeri itu.
Menurutnya, melalui inisiatif itu, Yayasan Pahang akan bertindak bagi pihak kerajaan negeri dalam meneroka potensi industri baharu melibatkan eksplorasi dan cari gali sumber air bawah tanah yang berpotensi besar untuk dikomersialkan.
“Pelaburan itu bukan sahaja dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, malah membuka peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen dan Persefahaman (MoU) antara rakan strategik Invest Pahang dengan Syarikat Pelabur sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada Jumaat.
Sementara itu, Projek Pembangunan Jerantut Square bernilai kira-kira RM130 juta pula bakal menjadi mercu tanda baharu di Pahang Barat, yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Projek bercampur itu akan dibangunkan sebagai hab komersial, gaya hidup dan komuniti moden mesra keluarga, sekali gus dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan langsung serta ribuan lagi tidak langsung melalui rangkaian pembekal dan aktiviti sokongan.
Wan Rosdy berkata, kedua-dua projek berkenaan melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan di kawasan Pahang Barat seimbang dengan kemajuan pesat di Pahang Timur.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelaburan dan meningkatkan nilai tambah ekonomi melalui pendekatan mampan serta berpaksikan rakyat.
“Penyertaan kali ketiga ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan strategik dan mempromosikan potensi pelaburan Pahang di peringkat serantau serta antarabangsa,” katanya.
Tahun ini, penyertaan Pahang memberi tumpuan kepada promosi inisiatif pembangunan berimpak tinggi termasuk Transit-Oriented Development (TOD) dan Economic Accelerator Projects (EAP) yang berkait rapat dengan aspek keterhubungan dan rantaian bekalan logistik (connectivity and logistics supply chain) di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Tambah beliau, sebanyak 13 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) dan swasta menyertai pameran di bawah Pavilion Invest Pahang, membabitkan tujuh syarikat di Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) dan enam lagi di Selangor International F&B Expo (SIE F&B).
Dalam majlis berkenaan, turut berlangsung upacara menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara rakan strategik Invest Pahang dengan pelabur yang akan menggerakkan pelbagai projek pembangunan dan komersial di negeri itu.
Antara MoU yang dimeterai termasuk projek eksplorasi dan pengkomersialan sumber air bawah tanah antara Yayasan Pahang dan Bubbles O2 Sdn Bhd, serta pembukaan Coffee Bean & Tea Leaf (Drive Thru) di Jerantut Square.
Turut dimeterai ialah perjanjian penempatan syarikat seperti Rakanda Enterprise Sdn Bhd, Tatako Enterprise, The Maple Hotel Sdn Bhd, Easyroomz Sdn Bhd, dan Mempaga Fresh Sdn Bhd sebagai pengendali serta penyewa utama di beberapa lokasi strategik di Jerantut dan Kuala Lipis.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus komited menyediakan ekosistem pelaburan kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan merancakkan pembangunan ekonomi negeri secara mampan.