PUTRAJAYA - Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus mendesak Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta- merta.
Deligasi NGO berhimpun di hadapan MOTAC yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim turut menuntut King Sing memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia terhadap isu hidangan arak di majlis rasmi kerajaan, baru-baru ini.
"Kami berasa terhina dan amat kecewa terhadap penganjur yang menghidangkan arak secara terbuka di majlis Global Travel Meet 2025 Gala Dinner.
"Tindakan ini jelas sebagai satu provokasi serta penghinaan terhadap Islam," katanya pada Jumaat.
Menurutnya, acara rasmi itu telah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia sebagai negara Islam.
"Menghidangkan arak dalam acara rasmi adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada," jelas beliau.
Aubidullah turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan terperinci terhadap penganjuran, dana dan perbelanjaan sebenar majlis berkenaan.
"Mesti ada penyiasatan dan pendedahan supaya rakyat tahu siapa di sebalik apa yang telah berlaku.
"Kami mahu menteri yang letak jawatan bukannya pengarah kerajaan atau agensi," katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video yang memaparkan tetamu majlis rasmi kerajaan dihidangkan arak sekali gus mengundang kemarahan umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi amaran keras kepada King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Dalam pada itu, King Sing ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis mengakui kesilapan beliau dan menzahirkan kekesalan berhubung kontroversi menghidangkan minuman beralkohol pada majlis itu sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.