TANJUNG MALIM - Kira-kira 11 pekerja mengalami sesak nafas dan pedih mata selepas berlaku kebocoran bahan kimia berbahaya di sebuah kilang di sini pada Khamis.
Laporan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim pada jam 12.42 tengah hari.
Iklan
Iklan
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat kebocoran pada sistem paip yang mengakibatkan tumpahan bahan kimia jenis isosianat sebanyak 15 liter.
“Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berhampiran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Kebocoran pada sistem paip tersebut telah berjaya ditutup dan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia itu sedang dijalankan menggunakan pasir,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dipanggil untuk mendapatkan nasihat mengenai prosedur kerja-kerja pembersihan yang selamat.
“Kerja-kerja pembersihan dan pemantauan masih diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya.