BALING – Sebanyak 139 kesalahan lebih muatan dikesan dilakukan kenderaan perdagangan sepanjang Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan dijalankan di negeri ini dalam tempoh kira-kira sebulan ini.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, daripada jumlah itu, lima kes direkodkan membawa muatan melebihi 70 peratus daripada had dibenarkan.
Menurutnya, bagi kes terbabit tindakan pendakwaan boleh diambil mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Jika disabit kesalahan, mahkamah boleh melucut hak kenderaan terlibat, manakala pemandu serta pemilik boleh dikenakan denda berat selain tindakan terhadap lesen dan permit mereka,” katanya kepada media di Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil di sini pada Khamis.
Menurut beliau, sejak operasi dilancarkan 1 September hingga 7 Oktober lalu, lebih 14,000 pemeriksaan dijalankan melibatkan 72 anggota penguat kuasa di negeri ini dengan tumpuan di kawasan industri, lebuh raya dan jalan persekutuan utama.
Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 2,560 saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan dan insurans tamat tempoh, memandu di lorong kanan secara berterusan serta pelbagai kesalahan teknikal serius seperti brek rosak, lampu tidak berfungsi dan tayar haus.
Beliau berkata, JPJ memandang serius isu lebih muatan kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna jalan raya, malah menyebabkan kerosakan terhadap infrastruktur awam seperti jalan dan jambatan.
“JPJ menyeru semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, cukai jalan dan insurans sah serta mematuhi had muatan dibenarkan,” katanya.
Orang awam turut digalakkan menyalurkan aduan secara masa nyata melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Sementara itu, katanya, sebanyak 32 kenderaan mewah disita bermula Januari membabitkan pelbagai kesalahan antaranya menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan serta insurans tamat tempoh.