MELAKA - Seorang bapa kepada tiga anak didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis bagi cuba memeras ugut seorang warga asing minggu lalu.
Tertuduh, Saril Ismail, 51, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis dan cuba melakukan perbuatan atas kuasa jawatan tersebut terhadap mangsa, seorang lelaki warga Bangladesh.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 2.54 petang Ahad lalu di Jalan Bendahara, dalam daerah Melaka Tengah.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa sedang mengayuh basikal, tertuduh yang menaiki sebuah motosikal memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menarik beg mangsa dan mengambil wang tunai berjumlah RM720 dalam beg tersebut.
Mangsa kemudian mengesyaki tertuduh menyamar sebagai polis sebelum tampil membuat laporan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengaku salah sekali gus menjimatkan masa mahkamah.
“Tertuduh sudah berkahwin, mempunyai tiga anak serta bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM2,400 sebulan.
“Tertuduh bertindak demikian untuk mendapatkan wang lebih dan menyesali perbuatannya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.