KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tular di media sosial kerana menggunakan lampu berkelip biru berserta siren adalah kenderaan yang digunakan atas tugas rasmi sebuah kementerian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti kenderaan dan pemilik terbabit.
Iklan
Iklan
"Kita akan memanggil kenderaan berkenaan dalam masa terdekat untuk pemeriksaan.
“Kenderaan itu digunakan atas tugas rasmi sebuah kementerian dan penggunaan lampu berkelip serta siren telah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan polis sedang menyiasat satu video tular yang memaparkan sebuah MPV memasang lampu berkelip biru berserta siren ketika melalui laluan sesak, dipercayai di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini pada Rabu.
Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, pihak polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, hasil penelitian awal terhadap rakaman video tular itu juga tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit.