Litar pintas dipercayai punca deretan rumah sewa terbakar

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran deretan rumah sewa di Kampung Seri Cheeding Sungai Jarom pada Jumaat.

BANTING – Litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan deretan rumah sewa di Kampung Seri Cheeding Sungai Jarom di sini pada Jumaat sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 jam 2.50 pagi daripada orang awam.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran bermula dari salah sebuah rumah yang mengalami litar pintas sebelum api merebak ke kediaman lain dalam deretan tersebut.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya sekitar jam 5 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mohd Akmalrizal berkata, pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menemukan mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan rentung di dalam salah sebuah rumah yang terlibat.

"Mangsa dipercayai anak kepada penyewa rumah berkenaan dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami akibat kejadian itu.

Dalam pada itu, Mohd Akmalrizal merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran dan menangani situasi ini.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 2.44 pagi.

Beliau berkata, setiap rumah terbakar hampir 90 peratus dan maklumat awal memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak terperangkap di dalam salah sebuah rumah tersebut.