RUU Sewa Beli 2025 tidak memudaratkan peminjam jika selesai awal - Armizan

Iklan
Armizan ketika membentangkan RUU Sewa Beli 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu.

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemansuhan itu dibuat kerana sistem berkenaan dianggap tidak adil dan membebankan peminjam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kaedah kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus.

"Kita memansuhkan kadar rata dan Peraturan 78 ini adalah untuk memastikan pengiraan ansuran bulanan yang adil serta caj faedah yang tidak memudaratkan peminjam yang memilih untuk membuat penyelesaian awal.

Iklan

"Pindaan ini turut memperkenalkan penggunaan kadar faedah efektif yang bertujuan meningkatkan ketulusan dalam pinjaman sewa beli dinilai dan dipasarkan yang mana membolehkan pengguna membandingkan pakej pinjaman dengan lebih cepat dan tepat," katanya.

Tambah Armizan, kaedah pengurangan baki itu juga akan memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman yang belum dijelaskan berbanding kaedah lama yang menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman.

Iklan

"Bagaimana kadar faedah efektif ini akan memanfaatkan pengguna? Yang pertama ia boleh menyebabkan atau membuka akses kepada pengguna membandingkan kos sebenar pelbagai jenis pinjaman dan produk kewangan dengan lebih tepat.

"Yang kedua, pengguna boleh merancang kewangan dengan lebih baik kerana ia menunjukkan jumlah faedah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

"Dan yang ketiga, mengenal pasti kos tersembunyi seperti faedah terkompaun yang menyebabkan hutang bertambah," katanya.

Jelas beliau, beberapa langkah memupuk kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pengguna mengenai kadar faedah efektif telah diambil antaranya semakan semula dokumen polisi ketelusan dan penzahiran produk yang telah dikeluarkan pada Disember 2024.

"Pihak Bank Negara Malaysia juga telah menjalankan inisiatif kempen kesedaran mengenai kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki yang mana perubahan signifikan dapat dilihat dalam tawaran pinjaman runcit, pembiayaan runcit oleh industri perbankan.

"Pihak Bank Negara juga akan mengeluarkan panduan pengguna mengenai pindaan ini sebagai bahan rujukan dalam masa yang terdekat selepas pindaan ini diluluskan dan juga berkuat kuasa," katanya.

Armizan berkata, pindaan menerusi RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 itu adalah sebahagian daripada ikhtiar kerajaan untuk meningkatkan perlindungan pengguna dan mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang kondusif.

RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas dibahaskan 20 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.