Jangan normalisasikan budaya berkaitan arak - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan pada Rabu.

SEREMBAN - Umat Islam tidak sewajarnya menormalisasikan budaya berkaitan arak dalam apa saja acara diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, mereka seharusnya perlu lebih sensitif mengenainya yang jelas haram dalam Islam termasuk segala bentuk penglibatannya.

Iklan
Iklan

"Saya rasa dari sudut hukum tentang arak ini adalah jelas. Sudah tentu dalam keadaan semasa ini, kita tidak mahu arak ini dinormalisasikan.

"Jadi, kena tahu mana yang boleh dan mana yang tidak boleh," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang membuat semburan arak bagi meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.

Tengku Muhammad Taufik kemudiannya tampil membuat permohonan maaf selepas video aksinya membuat acara semburan minuman keras itu tular.

Iklan

Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, Mohd Naim meminta semua pihak menjadikan pihak berautoriti khususnya golongan agamawan sebagai rujukan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan kefahaman masyarakat bukan Islam bahawa minuman keras adalah haram bagi orang Islam.

Tambahnya, pihaknya juga memahami yang minuman itu tiada halangan untuk orang bukan Islam.

"Nasihat saya khususnya kepada rakan-rakan yang beragama Islam untuk melihat kepada sensitiviti isu berkaitan dengan arak ini kerana sudah jelas hukum ia haram.

"Pada rakan-rakan yang bukan beragama Islam pula, tidak ada halangan untuk mereka membenarkan (minum arak), tapi dalam konteks Islam, ia memang satu perkara yang telah diharamkan," katanya.

Disebabkan itu tegasnya, perlunya setiap masyarakat memahami dan menghormati sensitiviti agama serta budaya satu sama lain bagi pembentukan sebuah negara Madani yang aman damai.