Tular pikap berpelekat bahasa Israel bermaksud ‘Malaysia rumah kami’

Iklan
Hairul Amin menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Merlimau pada Selasa selepas tular klip video memaparkan pikap berpelekat tulisan Hebrew bermaksud 'Malaysia rumah kami.'

JASIN - Tular klip video memaparkan sebuah pikap berpelekat ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew yang merupakan bahasa rasmi Israel sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau di sini pada petang Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, video yang menunjukkan sebuah kenderaan empat roda jenis Isuzu itu mula dikesan di media sosial sekitar tengah hari Selasa dan dipercayai dirakam di dalam kawasan negeri ini.

Menurutnya, tulisan Hebrew pada pelekat itu membawa maksud sangat sensitif ‘Malaysia milik kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’ yang boleh menimbulkan provokasi, terutama ketika isu Gaza masih menjadi perhatian dunia termasuk misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Iklan

Katanya, laporan polis dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan dan mengenal pasti pemilik kenderaan serta asal-usul pelekat berkenaan.

"Saya melihat video itu di media sosial sekitar jam 12 lebih dan membaca pelbagai komen daripada rakyat negeri ini yang menyatakan rasa bimbang serta marah.

Iklan

"Kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat dari mana datangnya pelekat itu, siapa pemiliknya dan apa tujuan sebenar,” katanya selepas ditemui di pekarangan Balai Polis Merlimau di sini, pada Selasa.

Ujarnya, mesej sebegitu tidak wajar berada di tempat awam kerana boleh mencetuskan kegusaran dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Terdahulu video berkenaan dikongsikan seorang pengguna thread sehingga mencetuskan lebih ribuan reaksi yang kebanyakan marah selain mempersoalkan tindakan pemilik kenderaan terbabit.