DI MATA rejim Zionis, misi mereka berjaya apabila Global Sumud Flotilla ditahan, aktivis diculik dan kapal-kapal ditunda ke pelabuhan Ashdod.
Mereka melaung kononnya menang besar. Tetapi hakikatnya, mereka sedang kalah bukan di laut semata, tetapi di medan diplomasi, undang-undang, ekonomi dan terutama sekali di hati nurani dunia.
Kebenaran tidak mungkin dikubur
Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu menyangka orang yang terbunuh di jalan ALLAH itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan dan mereka mendapat rezeki.” (Surah Ali-‘Imran: 169)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa perjuangan menegakkan kebenaran tidak pernah berakhir dengan kekalahan.
Hadis Nabi SAW pula menegaskan: “Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan, jika tidak mampu maka dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim).
Hakikatnya, flotilla ini ialah simbol tangan dan lisan dunia yang bergerak dengan kapal, mereka bersuara dengan hati yang ikhlas dan dunia kini turut sama bersaksi.
Diplomasi retak, dunia menyala
Colombia bertindak paling berani dengan mengusir diplomat Zionis dan membatalkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan satu tamparan yang mengasingkan Zionis dari dunia.
Afrika Selatan pula menyamakan penculikan aktivis dengan pengingkaran terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Turki membuka siasatan rasmi, menegaskan ini pelanggaran undang-undang laut.
Malaysia pula berdiri teguh menggerakkan diplomasi agar rakyatnya dibebaskan segera.
Sarjana kontemporari seperti John Esposito pernah menulis bahawa tindakan zalim terhadap sesuatu bangsa sering kali menjadi “Catalyst of awakening” yang merupakan pencetus kesedaran sejagat.
Apa yang berlaku kini membenarkan teori itu:"Semakin Zionis menekan, semakin kuat dunia bangkit."
Suara rakyat dan kekuatan solidariti
Di Itali, kesatuan buruh melancarkan general strike 3 Oktober. Akibatnya pelabuhan lumpuh dan logistik terhenti. Itu bukan sekadar mogok, tetapi doa solidariti dalam bahasa pekerja.
Pandangan sarjana Muslim kontemporari, Dr. Yusuf al-Qaradawi, sering mengingatkan bahawa jihad moden bukan sekadar mengangkat senjata, tetapi juga berdiri bersama menentang ketidakadilan dalam bentuk solidariti, boikot, suara rakyat dan diplomasi. Inilah yang kita saksikan kini.
Kekalahan moral Zionis
Zionis boleh menangkap, menggari dan merampas kapal, namun mereka gagal menawan hati nurani dunia.
Seperti kata Edward Said, “The power of narrative is as important as the narrative of power.”
Sabda Nabi SAW: “Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi, kerana antara dia dengan ALLAH tiada hijab.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Doa-doa inilah yang kini menghimpun kekuatan solidariti dunia.
Harapan yang tidak padam
Global Sumud Flotilla mungkin disekat di laut, tetapi ia telah berlayar jauh di samudera hati umat manusia.
Bangkitlah insani, kita terus berdoa agar semua aktivis dibebaskan dengan selamat.
Tetapi lebih daripada itu, kita perlu larut berdoa agar umat manusia tidak lagi tunduk kepada penindasan. Sebab perjuangan ini bukan sekadar tentang tanah dan laut tetapi tentang harga diri, maruah dan hakikat bahawa kebenaran itu tidak mungkin dikuburkan.
***Penulis, PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman