Mangsa buli cipta rekod MBOR karate kata guna kasut berpaku

Iklan
Vasanth Abhinandan disamping bapa menunjukkan sijil MBOR diterimanya.

SEREMBAN - Di sebalik kejayaan seorang murid Tahun Dua berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan melakukan aksi karate kata sambil memakai kasut berpaku selama 10 minit, tersimpan kisah pilu apabila dia pernah menjadi mangsa buli.

Bapanya, K Vasantha, 41, berkata anaknya, Vasanth Abhinandan, 8, pernah dikasari oleh rakan sebaya dan dibaling batu, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menghantar anak tunggalnya itu menyertai kelas seni mempertahankan diri.

Iklan
Iklan

“Anak saya pernah dibuli, jadi melalui karate dia dapat belajar ilmu pertahanan diri. Saya rasa seni mempertahankan diri sangat baik untuk kanak-kanak sebagai langkah pencegahan

“Banyak kes buli berlaku sekarang jadi sebagai ibu bapa kita tak boleh hanya bergantung kepada cikgu sahaja perlu ambil langkah pencegahan. Tak mahu bila sesuatu kejadian dah berlaku, masa itu sudah terlambat untuk bertindak,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Vasanth Abhinandan pamek aksi karate kata menggunakan kasut berpaku.

Mengulas mengenai kejayaan MBOR, pemandu van sekolah itu berkata, anaknya menjalani latihan lebih setahun sebagai persiapan sebelum mencuba nasib mencipta rekod.

Iklan

Ujarnya, idea menggunakan kasut berpaku datang daripada Vasanth sendiri yang mahu melakukan kelainan dalam persembahan karate kata.

“Permohonan MBOR dibuat pada Julai lalu dan selepas bukti serta dokumentasi lengkap dihantar, Vasant diumumkan sebagai pencipta rekod bagi kategori tersebut kerana belum pernah ada individu yang melakukannya.

“Anak saya memang minat karate sejak umur tiga tahun lagi. Idea untuk pakai kasut berpaku datang daripada dia sendiri. Asalnya dia cadangkan buat atas paku, kemudian kami sesuaikan dengan membuat kasut khas,” katanya.

Menurutnya, Vasanth kini memegang tali pinggang biru tahap empat, dan dijangka melengkapkan lima pergerakan utama untuk melayakkan diri ke tahap tali pinggang hitam dalam masa terdekat.

“Dia pernah menyertai pertandingan peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut. Dia juga memenangi Anugerah Pencapaian Terbaik Sukan Bukan Temasya 2025 oleh Exco Sukan Negeri Sembilan.

“Dia juga aktif dalam yoga dan mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi Asia World Record dalam kategori Yoga Three Corner pada Ogos lalu,” katanya.

Vasantha berkata, anaknya aktif dalam pelbagai bidang sukan sejak kecil termasuk renang, yoga, karate, dan kini berminat pula dalam sukan bola sepak.

“Dia memang minat dalam bidang sukan. Apa yang dia minat, saya berikan sokongan penuh.

“Sebagai bapa anak akan terus cemerlang dalam bidang sukan dan suatu hari nanti mendapat sijil profesional karate untuk menjadi jurulatih bertauliah yang menjadi kelebihan peluang pekerjaan untuk masa depan dia,” katanya.

Sementara itu, Vasanth berkata, dia berbangga dapat mencipta rekod pada usia masih kecil selepas lebih setahun menjalani latihan secara konsisten.

“Latihan banyak tertumpu pada kekuatan kaki dan tahan sakit semasa buat persembahan guna kasut berpaku.

“Saya suka buat perkara yang mencabar. Cita-cita saya, bila dah besar nanti nak jadi wakil negara dalam karate.,” katanya.