DENPASAR – Seorang wanita warga Poland berusia 27 tahun meninggal dunia di sebuah pusat peranginan di Bali selepas mengamalkan diet ekstrem berasaskan buah-buahan semata-mata, sehingga berat badannya susut kepada hanya 22 kilogram.
Mangsa, Karolina Krzyzak, ditemui tidak bernyawa di vila penginapannya di Sumberkima Hill Resort, Disember 2024. Ketika daftar masuk, kakitangan resort terus menyedari keadaannya yang amat kurus, dengan mata cengkung dan tulang selangka jelas kelihatan.
Iklan
Iklan
Sepanjang penginapan, keadaannya semakin merosot. Kakitangan memaklumkan kuku dan giginya rosak, dan dia kerap tidak mampu berjalan sendiri. Walaupun dinasihatkan mendapatkan rawatan, Krzyzak menolak.
Tiga hari kemudian, dia ditemui tidak sedarkan diri di lantai vila selepas rakan tempatan gagal menghubunginya. Hasil bedah siasat yang didedahkan baru-baru ini mendapati punca kematian mangsa akibat malnutrisi teruk, dengan kesan osteoporosis dan kekurangan albumin, berpunca daripada kelaparan berpanjangan.
Krzyzak, yang pernah mengalami anoreksia ketika remaja, menjadi taasub dengan diet 'fruitarian', hanya memakan buah mentah selepas terpengaruh dengan trend 'pemakanan bersih' di media sosial.
Pakar pemakanan memberi amaran diet seumpama itu sangat berisiko kerana buah tidak membekalkan protein, lemak dan mineral penting, sekali gus boleh menyebabkan kerosakan organ, tulang rapuh serta kegagalan sistem imun.-Agensi
Artikel Berkaitan