SHAH ALAM - Solidariti tidak berbelah bahagi negara-negara besar dan masyarakat antarabangsa menjadi sinar harapan serta semangat buat rakyat Palestin untuk terus memperjuangkan rantau berkenaan sebagai sebuah negara berdaulat.
Rakyat Gaza yang menetap di Malaysia, Majed Habib, 45, berkata, sepanjang sejarah, rakyat Palestin tidak pernah berputus asa terhadap hak menubuhkan negara merdeka termasuk kemungkinan untuk meraih sokongan antarabangsa.
Menurut pensyarah Universiti al-Aqsa Palestin itu, sokongan sedemikian dianggap kemenangan bagi perjuangan Palestin dan pengiktirafan terhadap penderitaan yang dialami penduduknya.
“Di tengah-tengah genosid, kekejaman dan pengusiran paksa berterusan, rakyat Palestin yang hidup di bawah pengeboman Israel melihat pendirian antarabangsa serta sokongan global terhadap perjuangan mereka.
“Walaupun mereka terus menanggung penderitaan dahsyat, sokongan antarabangsa jadi sinar harapan pada masa depan demi penubuhan negara merdeka,” katanya kepada Sinar Harian.
Majed berpandangan, keputusan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 September lalu apabila 142 undi menyokong, 10 menentang dan 12 berkecuali menandakan detik bersejarah dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan.
Sementara itu, Majed yang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, ahli keluarganya terpaksa berpindah ke kawasan lain selepas kawasan kejiranan Shuja’iyya di timur Bandar Gaza dirobohkan ekoran tentera Israel berulang kali memberi ancaman.
“Seluruh keluarga saya kini tidak mempunyai pilihan lain kecuali melarikan diri ke selatan Semenanjung Gaza dengan tiada tempat untuk berteduh,” katanya.
Seorang lagi rakyat Palestin yang menetap di Malaysia selepas mendirikan rumah tangga dengan warga tempatan selama enam tahun, Yousef K O Abuassi, 30, berkata, tindakan United Kingdom (UK), Australia dan Kanada yang mengiktiraf Palestin berita gembira buat rakyat Palestin.
Bagaimanapun, pemuda berusia 30 tahun itu menambah, pengiktirafan sedemikian diharap kekal berterusan dan negara-negara besar tersebut konsisten mendokong Palestin.
“Dibimbangi blok sebelum ini tidak menyokong tiba-tiba berubah pendirian kepada menyokong hanya kerana gentar dengan tekanan dan gelombang solidariti Free Palestine,” katanya.
Yousef berkata, keluarganya terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain ekoran kawasan musnah dibom rejim Zionis.
“Adik-beradik saya sembilan dari 12 orang sudah syahid, tahap kesihatan ibu semakin merosot.
“Saya tahu perkembangan keluarga melalui panggilan video dan media sosial, selebihnya berdoa kepada ALLAH SWT,” jelasnya.