PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia menyatakan sokongan terhadap usaha damai di wilayah kecil India–Pakistan dengan menegaskan kepentingan dialog serta kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan dan keamanan berkekalan di rantau berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu keamanan di Kashmir itu amat penting kepada Asia termasuk negara-negara Islam, memandangkan ketegangan berpanjangan boleh menjejaskan keselamatan dan kemakmuran global.
“Kita turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk usaha mencari keamanan di wilayah kecil India–Pakistan, satu perkara yang penting bagi kita di rantau ini.
“Kita juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam memerangi keganasan dan memastikan keamanan dapat dicapai secara menyeluruh,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula Ahad.
India dan Pakistan berkongsi salah satu sempadan paling bahaya di dunia sepanjang 3,323 kilometer (km) merangkumi 740km Zon Garisan Kawalan (LoC) serta Sempadan Antarabangsa (IB) yang menjangkau kira-kira 2,400km, selain Garis Kedudukan Sebenar (AGPL) sepanjang 110km yang memisahkan kedudukan tentera kedua-dua negara.
LoC pada asalnya dikenali sebagai Garis Gencatan Senjata pada 1949 selepas perang pertama antara New Delhi dan Islamabad, sebelum dinamakan semula di bawah Perjanjian Simla pada 1972.
Garis itu membahagikan wilayah Kashmir yang dituntut oleh kedua-dua kuasa nuklear berkenaan dan kekal sebagai salah satu sempadan paling dikawal ketat di dunia oleh pasukan tentera masing-masing.
Konflik di kawasan tersebut tidak pernah reda sejak lebih tujuh dekad lalu, manakala pelaksanaan gencatan senjata sering hanya bersifat sementara sebelum konfrontasi ketenteraan baharu tercetus.
Malaysia berpandangan kestabilan di rantau itu hanya dapat dicapai melalui semangat persefahaman, toleransi dan penyelesaian secara damai tanpa kekerasan.
Pendirian itu sejajar dengan dasar luar Malaysia yang berpegang kepada prinsip keamanan sejagat dan penyelesaian diplomatik terhadap sebarang pertikaian.