KUALA LUMPUR - Sekumpulan individu mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud dana emas dan tunai luar negara yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit.
Seorang mangsa dikenali Bakri, 45, berkata, dia mula menyertai skim terbabit selepas diajak seorang rakan yang merupakan salah seorang ketua pelaburan pada tahun 2022.
"Pada awalnya, saya hanya melabur kerana peribadi (wakil syarikat) yang ditemui sangat baik," katanya ketika ditemui bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di hadapan pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, di sini pada Isnin.
Menurut Bakri, dia yang menetap di Melaka bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang pulangan sehingga kini, malah mengalami kerugian mencecah RM320,000.
"Pelaburan awal yang saya buat hanya sebanyak RM1,000 untuk selesaikan 'task' (tugasan). Ada banyak tugasan seperti Geneva dan Frankfurt.
"Sepanjang saya sertai pelaburan, lebih 10 tugasan telah dibuat. Jika tidak buat tugasan, mereka akan ugut untuk tidak pulangkan modal," ujarnya.
Menurut Bakri, kali terakhir dia berhubung dengan wakil syarikat adalah pada April lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan maklumat, pelabur telah dijanjikan pulangan luar biasa sekiranya menyertai dan membantu membiayai 'pengaktifan' dana tersebut.
"Pelabur dijanjikan ganjaran berbentuk tunai dalam tempoh masa tertentu, kononnya 'pembebasan dana tersebut berjaya dicairkan'," ujarnya.
Menurutnya, pengadu mendakwa perlu melabur sejumlah wang untuk menerima aliran masuk dana dari luar negara sebagai 'tugasan' yang diperlukan untuk membawa dana masuk ke Malaysia.
"Mangsa yang hadir ke MHO menyatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian dari ribuan hingga ratusan ribu ringgit seorang, dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit," katanya.
Menurutnya, setakat ini, seramai 57 mangsa telah tampil ke MHO dengan anggaran kerugian RM8.3 juta.
"Skim itu disyaki dikendalikan oleh individu yang dikenali sebagai 'mastermind' pelaburan dan diikuti oleh beberapa orang 'ketua'," katanya.
Tambahnya, mangsa dijanjikan jika melabur RM1,000 mereka akan peroleh 3 juta dolar Amerika Syarikat.
"Syarikat kepada 'dana tahyul' itu disyaki bukan sebuah entiti pelaburan sah serta tidak berdaftar di bawah mana-mana institusi kewangan yang diiktiraf di Malaysia.
"Sehingga ke hari ini, para pengadu turut menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan hanya diberikan pelbagai alasan termasuk masalah teknikal bank luar negara dan proses pemindahan dana belum lengkap," jelasnya.
Hishamuddin berkata, pihaknya difahamkan sebanyak 30 laporan telah dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Tujuh laporan masih dalam siasatan, manakala satu laporan telah diberikan arahan NFA (No Further Action)," katanya.
Tambah Hishamuddin, pihaknya berharap agar siasatan yang sedang dijalankan berkaitan kes itu dapat dipercepatkan dan dilengkapkan dengan segera.
"Kertas siasatan yang lengkap dapat diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan pertuduhan di mahkamah," katanya.
Pada 8 Ogos lalu, media melaporkan siasatan mendapati syarikat yang didakwa mempunyai akses kepada dana emas dan tunai bernilai bilion ringgit di luar negara didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Malah, semakan Polis Diraja Malaysia turut mendapati gelaran Datuk Seri yang dimiliki pemilik syarikat berkenaan juga palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya menerima 43 laporan polis sejak 2023 dan sudah membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 40 keterangan telah direkodkan berhubung penipuan berkenaan membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut.