ISTANBUL - [DIKEMAS KINI] Sukarelawan Global Sumud Flotilla mendedahkan layanan buruk Israel terhadap mereka seperti tidak diberikan makan dan minum sewaktu ditahan.
Menurut wartawan Turkiye, Ersin Celik, aktivis dan sukarelawan GSF dilayan seperti anjing dengan dibiarkan kebuluran selama tiga hari.
"Mereka tak beri kami air. kami terpaksa minum dari tandas. Cuaca ketika itu sangat panas, kami benar-benar terseksa.” ujarnya.
Menurutnya, pengalaman tersebut membuatkan beliau lebih memahami penderitaan dialami rakyat Gaza.
Sementara itu aktivis Turkiye, Aycin Kantoglu pula menggambarkan keadaan dinding penjara berlumuran darah dan coretan pesanan daripada tahanan sebelum ini.
“Kami nampak ibu-ibu menulis nama anak mereka di dinding. Kami benar-benar merasai sedikit apa yang dilalui rakyat Palestin,” katanya.
Ahli Parlimen Itali, Arturo Scotto yang turut menyertai misi GSF menegaskan, mereka yang berada di atas bot bertindak secara sah.
"Pihak yang bertindak secara haram ialah Israel kerana menghalang kapal-kapal itu daripada sampai ke Gaza.” ujarnya.
Israel kini berdepan kecaman antarabangsa susulan serangan terhadap misi kemanusiaan itu yang menyaksikan tenteranya memintas lebih 40 buah kapal membawa bantuan ke Gaza dan menahan lebih 450 orang di atas kapal.
Pengkritik berkata, tindakan tersebut sekali lagi membuktikan kezaliman sekatan Israel yang menjerut kehidupan 2.3 juta penduduk Gaza di tengah-tengah peperangan berterusan di wilayah itu.
Flotilla yang dilancarkan sejak hujung Ogos lalu merupakan usaha antarabangsa terkini bagi memecahkan kepungan Israel dan menghantar bantuan kepada rakyat Palestin.