Tragedi ragbi SBP: Pelajar maut akibat koyakan otot pinggul

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes murid meninggal dunia ketika kejohanan ragbi, KPM batal kejohanan.

IPOH – Pendarahan dalaman akibat koyakan otot pinggul kanan dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Johor (SMS Johor) ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 11.18 pagi selepas menerima rawatan kecemasan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, keputusan itu adalah hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB terhadap mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum perlawanan dan laporan polis dibuat oleh jurulatih pasukan sekolah berkenaan.

Iklan

“Pelajar berkenaan tiba-tiba rebah di hadapan khemah pasukan dan pemeriksaan awal oleh petugas perubatan mendapati mangsa disyaki mengalami sawan kerana badannya menggigil dan menjadi keras.

“Pasukan perubatan kemudiannya melakukan bantuan pernafasan kerana nadinya lemah sebelum dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Abang Zainal Abidin berkata, susulan itu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika mangsa bersama pasukannya hendak memasuki padang bagi separuh masa kedua menentang Sekolah Menengah Sains Rembau.

Kejohanan berkenaan melibatkan penyertaan pasukan dari sekolah berasrama penuh seluruh negara dan berlangsung di padang STAR, Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 selepas kejadian seorang murid yang menyertainya meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat.