ZIONISME merupakan sebuah gerakan politik moden yang muncul di Eropah pada penghujung abad ke-19.
Perkataan Zion merujuk kepada Bukit Zion di Jerusalem yang menjadi simbol kerinduan orang Yahudi terhadap ‘tanah suci’ mereka.
Gerakan ini dipelopori oleh Theodor Herzl, seorang wartawan Austria-Hungary, selepas meningkatnya sentimen antisemitik (kebencian terhadap orang Yahudi) di Eropah termasuk peristiwa Dreyfus Affair di Perancis (1894).
Herzl menulis buku Der Judenstaat iaitu Negara Yahudi pada 1896, menyeru agar orang Yahudi menubuhkan negara sendiri.
Pada 1897, Kongres Zionis Pertama diadakan di Basel, Switzerland dan matlamat mereka ialah menubuhkan sebuah tanah air rasmi bagi orang Yahudi di Palestin (ketika itu di bawah Empayar Uthmaniyyah). Dari sinilah lahir organisasi Zionis sedunia.
Pada 1917, Britain mengeluarkan surat rasmi menyokong penubuhan tanah air nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin, dengan syarat tidak menjejaskan hak penduduk bukan Yahudi.
Peristiwa itu dikenali sebagai Deklarasi Balfour 1917 dan telah membuka jalan kepada penghijrahan Yahudi secara besar-besaran ke Palestin.
Selepas Perang Dunia Kedua, sokongan dunia kepada penubuhan negara Yahudi semakin kuat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Pelan Pembahagian 1947, yang membahagi Palestin kepada dua.
Pada 14 Mei 1948, pemimpin Zionis, David Ben-Gurion mengisytiharkan penubuhan negara Israel dan sejurus selepas itu, meletus Perang Arab-Israel antara Israel dan negara Arab.
Selama 77 tahun masa berlalu, penguasaan Zionis terus berkembang ke seluruh dunia dan begitu berkuasa sehingga negara-negara besar tunduk kepada mereka, malah negara-negara Islam juga tidak berdaya melakukan apa-apa.
Jadi peribahasa yang menyebut seberkas lidi tidak mungkin dapat dipatahkan berbanding dengan sebatang lidi nampaknya tidak terpakai dalam konteks melawan Zionis.
Adakah kita boleh biarkan sahaja melihat kejahatan Zionis terus berleluasa? Walaupun kita cuma sebesar hama, tetapi ada banyak cara untuk kita terus melawan mereka.
Berdoa juga adalah satu cara yang boleh kita lakukan jika tak mampu mengangkat senjata melawan Israel.
Bagaimanapun, kita amat berbangga dengan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa ratusan aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia untuk menembusi kepungan Israel di Gaza.
Mereka berkorban harta dan nyawa untuk membawa misi kemanusiaan serta mesej kepada dunia supaya terus melawan kekejaman Zionis.
Bagi saya, usaha mereka sudah berjaya walaupun lagi 278 kilometer menuju ke pantai Gaza, armada GSF telah disekat oleh rejim Zionis.
Cuma, yang kita semua kesal dan sedih ialah ada sesetengah pihak nampaknya memperlekeh usaha GSF.
Bagi pengkritik, tindakan rejim Zionis sudah boleh dijangka kerana semua misi-misi yang pernah dirintis sebelum ini tidak pernah berjaya menghampiri pantai Gaza.
Tetapi sejak peristiwa berdarah melibatkan misi Life Line For Gaza pada tahun 2010 yang menyebabkan sembilan aktivis maut dibunuh tentera Israel di atas kapal Mavi Marmara.
Israel selepas itu tidak lagi berani untuk melakukan kekerasan. Mereka dikecam hebat oleh masyarakat dunia dan menjadi negara paling dibenci orang.
Bagaimanapun, pada masa depan kita tidak tahu lagi apa yang akan berlaku.
Kalau Zionis ini sudah setaraf iblis, mereka tidak akan berubah jadi malaikat sekelip mata.
Jadi, pada pihak yang mempertikai tentang apa sahaja usaha untuk memberi kesedaran kepada rakyat untuk terus melawan kejahatan Zionis ini, lebih baik mereka simpan sahaja pandangan itu kepada diri sendiri.
Sebagaimana anda ada hak untuk mempunyai pandangan berbeza, begitu juga pihak lain yang ada hak memilih untuk berjuang dan mempertahankan Palestin.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian