JPJ Pahang keluar 3,383 notis saman dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan

Iklan
Syed Ahmad Khirulanwar (tengah) melihat kenderaan perdagangan yang disita dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang diadakan pada 1 hingga 30 September lalu.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Lebih muatan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bagi tempoh 1 hingga 30 September lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, kesalahan tersebut dikesan susulan pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

Iklan
Iklan

“Dalam tempoh itu, sebanyak 11,639 kenderaan diperiksa membabitkan 1,378 bas, 183 teksi atau e-hailing dan 10,078 lori.

"Daripada jumlah berkenaan, 1,960 kenderaan diambil tindakan termasuk 3,383 notis saman dan 20 kenderaan disita,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota pada Jumaat.

Iklan

Menurut Syed Ahmad Khirulanwar, bagi kesalahan teknikal sebanyak 869 notis dikeluarkan, lebih muatan (528 notis) dan lain-lain (352 notis).

"Kesalahan lain seperti tiada lesen, lesen memandu kompeten tamat tempoh, lesen vokasional tamat tempoh dan insurans tamat tempoh semuanya di bawah 10 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata, dalam kategori kesalahan keselamatan utama, sebanyak 62 notis telah dikeluarkan dan kesalahan tertinggi membabitkan memandu kenderaan berat di lorong laju secara berterusan iaitu 33 notis.

"Seterusnya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu (12 notis) dan tidak memakai tali pinggang keledar di hadapan.

"Lain-lain kesalahan termasuk memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

Syed Ahmad Khirulanwar menegaskan, penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten, tegas dan tanpa kompromi sepanjang operasi yang bermula 1 September dan dijangka berterusan hingga 31 Disember.

“Tindakan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD),” katanya.

Orang ramai digalakkan membuat aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus atau real time melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau emel aduantrafik@jpj.gov.my, lengkap dengan butiran aduan.