Bajet 2026: Menjawab cabaran dunia

Iklan
Jika Bajet 2026 dilaksanakan dengan tekad dan amanah, ia bukan sahaja menjadi permulaan RMK13, tetapi menandakan lahirnya era baharu. - Gambar hiasan

DUNIA yang kita huni hari ini bukan lagi dunia yang stabil, teratur dan mudah diramal seperti dahulu. Kita kini berada dalam era baharu yang digelar dunia pascanormal – suatu realiti kacau-bilau, penuh pertentangan, dan sarat dengan kerumitan.

Era ini dipacu tiga cabaran utama iaitu Chaos (kacau-bilau), Contradictions (pertentangan), Complexity (kerumitan), dan berlaku secara Simultaneity (keserentakan) dengan Speed (kepantasan), Scope (skop), serta Scale (skala) yang besar.

Iklan
Iklan

Apa yang kita perlukan sekarang ialah satu visi baharu, yang mencerminkan realiti hari ini dan mempersiapkan kita menghadapi cabaran yang masih menanti. Dalam keadaan ini, Malaysia tampil dengan gagasan Membangun Malaysia Madani dan Bajet 2026 bakal menjadi titik mula penting - bukan sekadar belanjawan tahunan, tetapi sebagai permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk tempoh lima tahun mendatang.

Cabaran berlapis dunia pascanormal telah mengakibatkan berlaku ketidaktentuan situasi sosiopolitik dan ekonomi global memberi tekanan kepada kehidupan rakyat serta cara tadbir urus atau tatakelola kerajaan. Perubahan geopolitik dunia antara kuasa besar pula memberi kesan langsung kepada ekonomi di peringkat serantau termasuk Malaysia.

Iklan

Ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) membuka peluang baharu, namun turut mencetuskan kebimbangan tentang masa depan pekerjaan, etika data, dan jurang digital. Tidak semua rakyat bersedia melangkah ke dunia AI; jurang bandar-luar bandar masih luas, dan akses digital tidak sama rata.

Dalam masa sama, demografi Malaysia masa kini menuntut perhatian. Populasi menua, kos sara hidup yang meningkat, serta tuntutan generasi muda terhadap pekerjaan bermaruah menekan kualiti hidup rakyat. Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan migrasi global akibat konflik dan perubahan iklim, menjadikannya destinasi utama buruh migran - satu fenomena yang membawa implikasi sosial dan ekonomi.

Iklan

Dunia pascanormal ini bukan teori akademik semata-mata. Ia realiti getir yang mempengaruhi kehidupan seharian rakyat - daripada harga barang dapur hingga kestabilan politik dan ekonomi.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasar beliau di Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025, “sistem sosial dan ekonomi abad ke-20 tidak lagi mampu menampung realiti baharu.” Kerja tidak lagi stabil, populasi menua terlalu cepat, dan perubahan iklim melakar semula peta kehidupan.

Dalam menghadapi situasi genting ini, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada model pembangunan luar semata-mata. Kita memerlukan gagasan yang berpijak di bumi nyata, tetapi tetap terbuka kepada hikmah sejagat.

Di sinilah lahirnya Malaysia Madani, gagasan yang diangkat Anwar. Enam tonggaknya – Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan – bukan sekadar slogan politik, tetapi manhaj berfikir dan bertindak. Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa perlindungan sosial bukanlah sistem birokratik semata-mata, tetapi “infrastruktur moral” yang berpaksikan ihsan dan keadilan.

Tradisi Islam melalui institusi baitulmal memastikan kekayaan disalurkan kepada fakir miskin, balu, anak yatim dan warga emas. Prinsip keadilan inilah yang mahu dibangunkan semula melalui kerangka Madani. Bajet 2026 muncul sebagai belanjawan paling kritikal sejak Anwar mengambil alih teraju Putrajaya.

Anwar telah pun memberi isyarat jelas: perlindungan sosial mesti diperluas kepada pekerja gig, suri rumah, serta pekerja tidak formal. Persiapan menghadapi masyarakat menua menjelang 2030 mesti dipercepat, termasuk memastikan warga emas terus menyumbang, bukan sekadar menjadi penerima bantuan. Malah, kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan - melindungi pekerja bukan sahaja ketika waktu pejabat, tetapi sepanjang masa.

Ini adalah contoh reformasi yang jika dimasukkan ke dalam Bajet 2026, akan menjadikan belanjawan ini benar-benar dirasai rakyat. Era pascanormal menuntut keberanian luar biasa. Cabaran hutang, geopolitik, teknologi, demografi, migrasi, dan krisis iklim semuanya hadir serentak, menguji daya tahan negara.

Ucapan Anwar di Forum Keselamatan Sosial Dunia diakhiri dengan peringatan penting: tiada negara mampu menghadapi cabaran ini sendirian. Pandangan ini meletakkan Malaysia bukan sekadar bertahan dalam badai pascanormal, tetapi berperanan sebagai penyumbang kepada ekosistem global yang lebih adil.

Jika Bajet 2026 dilaksanakan dengan tekad dan amanah, ia bukan sahaja menjadi permulaan RMK13, tetapi menandakan lahirnya era baharu: era di mana Malaysia berdiri teguh menghadapi badai dunia pascanormal sambil tetap memelihara jati diri dan peradaban.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)