Pegawai hutan didakwa 116 pertuduhan rasuah hampir RM650,000

Iklan
Tertuduh berdepan 116 pertuduhan membabitkan rasuah hampir RM650,000 di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.

SEREMBAN - Seorang Pegawai Pemelihara Hutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 116 pertuduhan menerima rasuah hampir RM650,000 berkaitan projek pembalakan di Pahang.

Tertuduh, Nazri Husin, 54, yang berkhidmat di Pejabat Perhutanan Negeri Sembilan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM649,169.68 dari tahun 2019 sehingga 2023.

Ia sebagai upah kerana membantu seorang individu mendapatkan lesen bagi menjalankan kerja-kerja pembalakan sebagai kontraktor dalam Projek Ladang Hutan di kawasan Hutan Simpan Lesong (Mukim Keratong), Rompin, Pahang.

Iklan

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Taufik Awaludin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nurul Nadia Norrizan dari Tetuan K Siladass & Partners.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan serahan pasport dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 November depan.