SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 201 daripada 497 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 12 rakyat Malaysia merupakan antara delegasi dipercayai ditahan di atas kapal flotilla oleh tentera Israel setakat ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat jam 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas rejim zionis termasuk kapal Sirius, Alma, Huga, Grande Blu dan Hio, yang membawa delegasi Malaysia terdiri dari tujuh lelaki serta lima perempuan.
Ujarnya, selain itu kapal Adara, Spectre, Deir Yassin Mali, Yulara, Aurora, Otaria, Morgana, Seulle, dan Mohammad Bhar, turut dipintas.
"SNCC turut mengesahkan bahawa seramai dua orang delegasi Malaysia yang berada di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi sejak serangan berlaku.
"Senarai nama adalah seperti Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana dan Razali Awang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pusat Kawalan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia, pada Khamis.
Sebelum ini, SNCC pada Khamis jam 2.03 pagi waktu Malaysia, mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Menurut Sani Araby, pihaknya turut mengesahkan tiada laporan bunyi tembakan, sekali gus menafikan spekulasi delegasi Malaysia yang diseksa.
"Selain itu, terdapat sebuah kapal yang diarahkan oleh tentera rejim Israel untuk tidak meneruskan pelayaran ke Gaza, baki sembilan orang delegasi Malaysia berada di kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella, yang dilaporkan belum dipintas dan meneruskan pelayaran ke Gaza.
"Delegasi Malaysia di kapal Free Willy melibatkan Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami dan Taufiq Mohd Razif manakala kapal Estrella pula, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak serta Mohd Asmawi Mukhtar.
"Selain itu, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Muhammad Kechik dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA) merupakan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Fair Lady," ujarnya.
Menurut beliau, pasukan Legal GSF yang melibatkan rangkaian peguam dari 45 negara kini berada dalam keadaan siap siaga.
"Barisan perundangan Malaysia yang diketuai oleh Tuan Azril daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), yang sudah berada di Amman, Jordan bagi menyelaras hal-hal berkaitan undang-undang membabitkan delegasi Malaysia dan flotilla.
“SNCC juga memaklumkan sekretariat GSF bekerjasama serta melantik Pusat Perundangan untuk Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,” kata beliau.