Selama hampir tiga dekad, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengheret Asia Barat ke dalam kancah peperangan yang tiada kesudahan.
Pemimpin ekstremis itu seperti bom jangka keganasan. Setiap peperangan yang dilancarkan Tel Aviv tiada matlamat jelas dan hanya omong kosong untuk bermegah kepada dunia.
Pemimpin veteran itu menjadikan peperangan sebagai perisai untuk diri dan kepentingan politiknya.
Ketaasuban pemimpin itu untuk berperang kerana pengaruh mentor ekstremisnya; Ze’ev Jabotinsky, Yitzhak Shamir dan Menachem Begin.
Generasi lebih tua percaya Zionis wajar menggunakan keganasan dan peperangan demi mencapai matlamat jahat mereka untuk menghapuskan sebarang tuntutan penduduk Palestin.
Pelan keji untuk merampas tanah milik Palestin seperti yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat sebenarnya telah dirancang sejak sekian lama.
Pada 1996, Netanyahu bersama AS merangka strategi digelar ‘Clean Break’ yang menetapkan Israel tidak akan berundur dari tanah diduduki pada 1967 sebagai pertukaran dengan keamanan di rantau berkenaan di samping angan-angan Mat Jenin mereka untuk membentuk semula Asia Barat.
Ironinya, rejim Tel Aviv telah menghuru-harakan rantau tersebut dengan melancarkan serangan provokasi ke atas Lubnan, Syria dan Yemen serta mengancam untuk menyerang Iran.
Banyak pihak percaya Netanyahu sengaja berdolak-dalik untuk capai perjanjian damai di Gaza kerana dia sendiri tidak pernah mahukan keamanan.
Pemimpin yang terlalu mengikut telunjuk puak sayap kanan itu bermati-matian mahu menghapuskan Hamas meskipun dia sedar ia sememangnya perkara mustahil dan menjadikan penduduk Palestin sebagai mangsa dalam konflik tersebut.
Sejak ucapan syok sendiri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada minggu lalu, timbul pula nama julukan baharu buat Netanyahu.
Dia kini digelar ‘Houdini Asia Barat’ merujuk kepada kebolehan ahli silap mata terkenal, Harry Houdini yang handal melepaskan diri dari sebarang situasi.
Netanyahu terus terselamat daripada kejatuhan politik dan kes mahkamah serta membentuk pakatan meskipun goyah demi memperkukuhkan lagi kedudukannya.
Tindak-tanduknya di atas pentas antarabangsa juga sesuai dengan panggilan pemimpin muka tembok yang kalis kecaman meskipun berulang kali imejnya tercalar dan diperlekehkan banyak pihak.