SHAH ALAM- Malaysia berjaya mengekalkan penarafan Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2025 yang diumumkan pada Selasa di Washington DC, Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, kedudukan itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha berterusan negara dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.
“KDN menyambut baik penilaian positif itu. Laporan tersebut mengiktiraf bahawa Malaysia telah menunjukkan usaha dan pencapaian yang signifikan dalam memerangi pemerdagangan orang.
“Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan terhadap penjawat awam dan peningkatan dana bagi aktiviti membanteras pemerdagangan orang.
“Selain itu, peningkatan kelulusan kebenaran bekerja kepada mangsa, pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, pelancaran sistem data pemerdagangan orang serta penubuhan Kumpulan Penasihat Pemerdagangan Orang dengan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO),” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Laporan JNAS turut menggariskan sejumlah 15 perkara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2025 sehingga 31 Mac 2026.
Antara lain, termasuklah usaha meningkatkan pengenalpastian mangsa, memperkukuh usaha siasatan, menghapuskan yuran pengambilan pekerja dan memperluas kerjasama dengan NGO.
Selain itu, laporan ini juga menggariskan beberapa perkara penambahbaikan baharu antaranya menginstitusikan dan memperkukuh dana bagi program Victim Assistance Specialist (VAS), termasuk dengan melantik pakar VAS di Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan itu, kerajaan telah menetapkan beberapa strategi hala tuju iaitu memperkukuh integriti penjawat awam, mewujudkan sistem pengurusan mangsa mengikut piawaian antarabangsa, memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan NGO serta memanfaatkan teknologi digital serta Kecerdasan Buatan (Al).
“Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui KDN bersama agensi-agensi kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan bersepadu termasuk menangani trend baharu seperti penipuan pekerjaan,” jelasnya.
KDN menambah, usaha membanteras jenayah itu menuntut kerjasama erat pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, pertubuhan antarabangsa, ahli akademik dan sektor majikan, melalui pendekatan holistik berasaskan teras penguatkuasaan dan perundangan, perlindungan serta pencegahan.
“Kerajaan yakin pendekatan menyeluruh ini akan memperkukuh keberkesanan usaha negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang serta menjamin perlindungan lebih baik kepada mangsa,” katanya.