SHAH ALAM - Tiga buah sekolah yang mencatatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 terbaik akan menerima RM10,000 sebagai insentif keputusan yang cemerlang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan keseluruhan calon STAM dengan kurikulum baharu itu juga membanggakan negara.
"Malah kurikulum yang digubal bersama Al Azhar ini sebenarnya sedang menyiapkan anak-anak untuk urusan negara yang lebih besar.
"Menjadi bakal ulama dan umara yang menguasai bidang serta rahmah kepada umat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau juga alumni sekolah agama menengah (SAM) melahirkan rasa bangga dengan kegigihan asatizah dan guru yang mendidik.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan turut berada di SAM Bandar Baru Salak Tinggi untuk meraikan keputusan STAM calon di sekolah berkenaan pada Khamis.
"Ada yang sebak sambil memeluk saya. Saya pun sebak juga sepertinya saya yang mengambil keputusan anak sendiri.
"Saya juga terharu dengan sambutan anak-anak yang sentiasa kasih dan mesra dengan tetamu yang hadir walaupun seketika, akhlak mereka sangat terpuji ketika menyantuni para tetamu," katanya lagi.
Pada masa sama, beliau mengumumkan peruntukkan RM200,000 untuk sekolah berkenaan bagi membaiki dewan dengan segera agar fasiliti itu dapat digunakan demi manfaat warga sekolah.
Sementara itu, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sekali lagi mencatatkan pencapaian STAM terbaik dan konsisten dalam tempoh enam tahun dan kedua terbaik sepanjang tujuh tahun sekali gus membuktikan komitmen berterusan warga sekolah berkenaan memperkukuhkan kecemerlangan akademik.
Gred Purata Sekolah (GPS) STAM 2025 menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan kenaikan sebanyak 0.40 mata, iaitu daripada GPS 1.86 (2024) kepada GPS 1.46 (2025).
Seramai tiga calon daripada KISAS mendapat keputusan Mumtaz Sofi, 15 Mumtaz dan lapan Jayyid Jiddan daripada keseluruhan 23 calon STAM kali ini.
"Lebih membanggakan, semua mata pelajaran STAM mencatat peningkatan, dengan lonjakan paling ketara direkodkan bagi mata pelajaran Adab dan Nusus, yang meningkat sebanyak 1.16 mata (lonjakan saujana) kepada Gred Purata Subjek 1.52.
"Semoga kecemerlangan KISAS di persada pendidikan agama ini terus diperkukuh demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing sehingga ke peringkat global," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Khamis, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan seramai 61 calon STAM 2025 mendapat keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran.
Menurut KPM, pencapaian peperiksaan itu adalah signifikan kerana membabitkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan enam melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
Katanya, pengukuhan kurikulum hasil kerjasama Al-Azhar Al-Sharif menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapauan sebanyak 2.81 mata.
Gred Purata bagi calon sekolah KPM turut mencatatkan pencapaian yang baik iaitu 2.63 mata.
KPM berkata, secara keseluruhan, seramai 2,816 calon daripada 4,382 orang berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Katanya, calon menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya' dan Mutalaah.