61 calon STAM peroleh Mumtaz dalam semua subjek

Iklan

SHAH ALAM - Seramai 61 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 berjaya memperoleh keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM memaklumkan pencapaian ini amat bermakna kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini selama tiga tahun.

Iklan
Iklan

Kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif turut membuahkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan 2.81 mata, manakala Gred Purata calon sekolah KPM ialah 2.63 mata.

Menurut kenyataan KPM, 4,382 calon mendaftar untuk peperiksaan STAM 2025 di 135 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan peratus kehadiran keseluruhan 98.7 peratus.

Iklan

"Bagi calon di bawah KPM, peratus kehadiran lebih tinggi iaitu 99.1 peratus. Secara keseluruhan, 2,816 calon berjaya memenuhi syarat untuk dianugerahkan STAM," menurut kenyataan KPM pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, calon menunjukkan penguasaan yang baik terhadap format baharu empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah, serta Insya' dan Mutalaah.

Iklan

KPM turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran STAM 2025.

Sementara itu, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sekali lagi mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh enam tahun bagi peperiksaan STAM dan kedua terbaik sepanjang tujuh tahun, menunjukkan komitmen berterusan warga sekolah terhadap kecemerlangan akademik.

Bagi tahun 2025, Gred Purata Sekolah (GPS) STAM KISAS meningkat daripada 1.86 (2024) kepada 1.46, iaitu peningkatan 0.40 mata. Daripada 23 murid yang menduduki peperiksaan, pencapaian mereka adalah: 3 Mumtaz Sofi, 15 Mumtaz, dan 8 Jayyid Jiddan.

KISAS dalam satu kenyataan memaklumkan, semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan, dengan lonjakan paling ketara bagi mata pelajaran Adab dan Nusus, yang naik 1.16 mata kepada 1.52.

"Tahniah diucapkan kepada murid, guru, barisan pentadbir dan semua pihak yang terlibat.

"Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan KISAS dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global," menurut kenyataan itu pada Jumaat.