PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjuangan membanteras rasuah memerlukan keberanian luar biasa kerana ia melibatkan musuh besar dengan kepentingan bernilai berbilion ringgit.
Beliau berkata, tindakan menahan pesalah rasuah kecil bernilai ribuan ringgit tidak memberi risiko tinggi, namun kes membabitkan tokoh berpengaruh dan kekayaan ratusan juta ringgit jauh lebih mencabar.
“Kalau tangkap orang di pejabat daerah kerana ambil RM1,000 hingga RM5,000 itu tidak berisiko. Tetapi kalau kes melibatkan ratusan juta, malah berbilion ringgit, musuh yang dihadapi bukan calang-calang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Peluncuran Keep Malaysia Clean (KMC) di sini pada Rabu.
Menurutnya, aneh apabila ada pihak termasuk dalam Dewan Rakyat (pembangkang) mempertikaikan tindakan SPRM menahan individu tertentu dengan alasan mereka berjasa atau sudah tidak sihat.
“Semua orang ada jasa, hatta tukang cuci juga ada jasa. Kalau begitu alasan, firaun pun pernah memberi makan kepada ribuan pekerjanya setiap hari. Jadi jasa tidak boleh dijadikan alasan menutup perbuatan rasuah,” katanya.
Anwar menegaskan perjuangan menentang rasuah bukan soal dendam peribadi atau kepentingan politik, sebaliknya tanggungjawab menyelamatkan negara.
“Yang penting ialah keberanian untuk bertindak. Jika kita biarkan, negara akan terus rosak akibat budaya ketirisan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengiktiraf keberanian SPRM bertindak terhadap pemimpin berprofil tinggi, termasuk menteri dan tokoh berpengaruh.
“Dalam sejarah negara, belum pernah ada tindakan menyeluruh seperti yang dilakukan sekarang. SPRM telah menggoncang negara dengan keberanian untuk bertindak tanpa gentar,” katanya.
Beliau menyifatkan ia sebagai pencapaian besar yang membanggakan rakyat dan membuktikan SPRM berada di landasan tepat.
Anwar turut berkongsi pengalamannya semasa membawa idea memperkukuh undang-undang pencegahan rasuah sejak 1990-an dengan mencontohi model Hong Kong Anti-Corruption Commission (ICAC).
“Tiga perkara penting ialah tekad politik jelas, undang-undang kukuh dan tenaga profesional berkeupayaan. Itulah tunjang yang menjadikan ICAC berjaya, dan kita juga mencontohi pendekatan itu,” katanya.
Beliau turut mengimbas langkah berani pada era beliau sebagai Menteri Kewangan memperkenalkan pindaan undang-undang supaya penjawat awam dan menteri boleh disiasat walaupun selepas bersara jika didapati memiliki kekayaan luar biasa.
Anwar menyeru seluruh warga SPRM mengekalkan semangat keberanian yang ditunjukkan selama ini demi membersihkan negara daripada gejala rasuah.
“Bukan mudah untuk berdepan risiko dan ancaman besar. Tetapi saya dan rakan-rakan dalam kerajaan memberi sokongan penuh agar kerja baik ini diteruskan,” katanya.
Beliau menegaskan SPRM perlu kekal menjadi tonggak utama dalam memastikan martabat negara dipelihara.
“SPRM harus menjadi badan penguatkuasaan yang berkesan, berani dan mendalam (profound, effective, courageous) untuk mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara besar dan dihormati,” katanya.
Menurutnya, semua jentera kerajaan serta rakyat harus menggembleng tenaga mendukung usaha SPRM bagi mengekang rasuah daripada terus menular.
“Hanya dengan kekuatan politik, keberanian institusi dan kecekapan penguatkuasaan, idealisme Malaysia sebagai negara bersih dapat dipertahankan,” ujarnya.