PUTRAJAYA - Kejayaan agenda reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergantung sepenuhnya kepada iltizam politik kerajaan yang memerintah.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keazaman politik yang jelas menjadi faktor penentu dalam memastikan SPRM terus bebas, profesional dan berwibawa melaksanakan tanggungjawab memerangi rasuah.
“Perjalanan ini bukan mudah. Ia memerlukan sokongan semua pihak, terutama sekali sokongan politik yang tidak berbelah bahagi.
"Dengan adanya Kerajaan Madani hari ini, usaha reformasi lebih menyeluruh sedang digerakkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-58 SPRM dan peluncuran inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) di sini pada Rabu.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azam berkata, selaras arahan Perdana Menteri, SPRM kini turut berada di bawah Multi Agency Task Force (MATF) yang ditubuhkan bagi menyelaras usaha pemulihan aset negara.
“MATF melibatkan pelbagai agensi kerajaan. Melalui pasukan ini, kita sedang berusaha mengesan serta membawa pulang aset negara yang dicuri penjenayah dan disimpan di luar negara,” katanya.
Menurut beliau, usaha itu turut diperkukuh dengan cadangan kerajaan menggubal undang-undang baharu, Deferred Prosecution Agreement (DPA), yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
“DPA adalah instrumen undang-undang yang telah lama diguna pakai di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada. Ia membolehkan syarikat terlibat rasuah mengaku salah tanpa melalui perbicaraan penuh, dengan syarat membayar ganti rugi serta memulihkan kerugian negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azam turut menekankan kejayaan SPRM membina kerjasama antarabangsa dalam usaha memulihkan aset negara yang hilang, termasuk dana berkaitan skandal 1MDB.
“Antara pencapaian terbaru ialah hasil kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), FBI, Switzerland dan agensi lain, kita berjaya memulihkan semula aset berjumlah USD330 juta atau RM1.4 bilion daripada JPMorgan Chase & Co. Dahulu perkara ini dianggap mustahil, tetapi hari ini kita berjaya kerana pendekatan baharu kerajaan,” katanya.
Azam menambah, hala tuju SPRM dipandu melalui Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu penguatkuasaan berkesan, pencegahan menyeluruh serta pemerkasaan keupayaan anggota SPRM.
“Bagi sektor penguatkuasaan, tumpuan kita ialah siasatan berkesan untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. Dari sudut pencegahan, kita melaksanakan analisis data, penilaian risiko dan pendidikan masyarakat. Dalam masa sama, pegawai-pegawai SPRM diperkasakan dengan ilmu serta kemahiran baharu,” katanya.
Beliau menegaskan SPRM tidak boleh terikat dengan pendekatan lama sebaliknya perlu sentiasa relevan dengan cabaran semasa.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kaedah terdahulu. Apa yang sesuai pada tahun ini mungkin tidak lagi relevan tahun depan. SPRM mesti dinamik dan bergerak seiring tuntutan masyarakat,” katanya.
Azam turut mengingatkan bahawa penubuhan SPRM pada 2009 merupakan titik penting dalam memperkukuh integriti dan ketelusan.
“Penubuhan suruhanjaya ini adalah hasil tuntutan rakyat yang mahu melihat sebuah badan bebas dan telus menangani rasuah. Ia memberi SPRM kedudukan lebih jelas sebagai institusi penting dalam agenda reformasi negara,” ujarnya.
Majlis sambutan ulang tahun itu turut menyaksikan peluncuran KMC, sebuah blueprint nasional yang digerakkan SPRM dengan kerjasama pelbagai pihak.
“KMC adalah satu gerakan nasional yang menekankan komitmen bersama memastikan pentadbiran negara benar-benar bersih. Ia bertujuan memupuk budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti di semua peringkat masyarakat,” katanya.
Azam menyifatkan rasuah sebagai “penyakit kronik” yang boleh menghancurkan negara sekiranya tidak ditangani dengan tegas.
“Sepanjang dua dekad lalu, negara menanggung kerugian sekitar RM200 bilion akibat aktiviti rasuah. Kesan ini bukan sahaja melemahkan ekonomi, malah meruntuhkan keyakinan rakyat,” tegasnya.
Beliau mengingatkan seluruh warga SPRM agar memperbaharui sumpah setia kepada rakyat dan negara, sekali gus menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme.
“Pegawai SPRM perlu sentiasa sedar bahawa masa tidak menunggu kita. Kita mesti pantas mengejar impian menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.