BERA -"Kali ini, kesannya lebih teruk, lebih banyak ikan mati berbanding sebelum ini.
Demikian kata pemancing, Abdul Ghafar Abdul Ghani, 48, selepas menyaksikan pelbagai spesies ikan seperti baung, laih, seluang dan lampam mati dipercayai akibat pencemaran di Sungai Serting-Sungai Bera dekat Kampung Serting Lubuk Tembangan pada Sabtu.
Menurutnya, kejadian itu disedari ketika dia memancing seorang diri kira-kira jam 8 pagi berhampiran loji Bera 2 di sini pada Ahad.
"Kali ini bagi saya lebih teruk, majoriti ikan mati berbanding mabuk sebelum ini.
"Ikutkan situasi ini sudah lebih 20 tahun cuma lima tahun kebelakangan makin teruk dan sebagai penduduk, sudah lali dengan masalah ini," katanya di sini pada Rabu.
Ujarnya, pada sebelah petang, rakannya melihat penduduk kampung menyauk ikan berhampiran loji Bera 2.
Jelasnya, situasi itu perlu segera diatasi sebelum lebih banyak spesies ikan mati selain mengelakkan risiko kesihatan pada penduduk.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek ketika dihubungi memberitahu, setakat ini situasi terkawal dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Pahang sedang memantau perkembangan semasa.
"Setakat ini kesemua indikator telah bertambah baik. Punca kita belum kenal pasti.
"Kami sedang menunggu hasil analisis sampel oleh Jabatan Kimia untuk kepastian.
"Pihak JAS sedang melawat semua kilang-kilang dalam kawasan Sungai Serting bagi memastikan tiada apa-apa lagi yang membolehkan menjadi punca pencemaran," katanya telah melawat kawasan tersebut pada Rabu.
Ujarnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga sedang memantau kesemua kilang-kilang yang telah dikenal pasti bagi memastikan kepatuhan tinggi oleh industri kelapa sawit dan getah di kawasan berkenaan.
Jelasnya lagi, pihak kepimpinan setempat seperti ketua kampung dan penghulu juga diminta sentiasa menyusur maklumat dari nelayan-nelayan sungai tempatan bagi apa-apa perubahan terkini.