Perak umum larangan lesen vape berkuat kuasa Januari 2026

Iklan
Sivanesan dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau Vape berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Komuniti India dan Perpaduan Nasional Negeri Perak, A Sivanesan berkata, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, larangan tersebut dilaksanakan bagi mencegah risiko ketagihan nikotin dan kesan buruk bahan kimia yang terdapat dalam rokok elektronik, selain langkah tegas melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda.

"Vape yang sering dipasarkan dengan perisa menarik bukan sahaja boleh menjadi pintu masuk kepada tabiat merokok, malah berpotensi disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah.

Iklan

"Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit, kos rawatan kesihatan dan masalah sosial," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Kelulusan polisi itu menjadikan Perak negeri ketujuh melaksanakan larangan lesen vape selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.

Iklan

Sivanesan berkata, antara langkah utama pelaksanaan polisi berkenaan termasuklah larangan lesen baharu dengan tiada premis dibenarkan mendapatkan lesen untuk menjual vape.

Selain itu katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan memperbaharui lesen sedia ada, bermakna semua lesen sedia ada akan luput dan tidak disambung selepas tarikh kuat kuasa.

"Larangan ini terpakai ke atas semua kategori premis perniagaan di seluruh negeri tanpa pengecualian jenis dan waktu operasi.

"Kita akan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu melalui PBT dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, semua polisi terbabit akan berkuat kuasa sehingga digantikan oleh peraturan baharu Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, Perak telah merekodkan pelbagai kes serius dan penyalahgunaan vape dan antara yang dikesan termasuk 44 kes EVALI (kecederaan paru-paru berkaitan vape) dan 27 kes non-EVALI, manakala 111 kes keracunan nikotin yang dilaporkan antara 2015 hingga 2023.

"Remaja turut menjadi golongan terkesan dengan 1,036 notis dikeluarkan antara Januari hingga Mei 2025, termasuk 938 di kawasan larangan dan 97 kes penghisapan vape di luar kawalan.

"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan tentang risiko tabiat merokok dan penyalahgunaan bahan terlarang termasuk dadah seperti syabu, ganja, psilocybine dan mushroom yang menyaksikan sebanyak 42 tangkapan di Perak antara 2024 hingga Julai 2025," katanya.