TELUK INTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengambil langkah proaktif melatih lebih ramai anggota dan pegawainya menguasai bahasa isyarat.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, langkah itu bagi memastikan maklumat berkaitan aspek keselamatan kebakaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
"Buat masa ini hanya seorang pegawai bomba negeri ini mahir menggunakan bahasa isyarat dan saya amat menggalakkan kepada anggota lain mempelajarinya.
"Kalau perlu kita panggil guru-guru (bahasa isyarat) untuk mengajar. Saya akan ambil inisiatif ini di peringkat negeri," katanya sempena Kempen Kesedaran Kebakaran Bersama Komuniti Pekak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, di sini pada Ahad.
Menurut Sayani, terdapat permintaan daripada persatuan-persatuan OKU pendengaran untuk melatih komuniti mereka dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi bahaya kebakaran.
"Melihat kepada keperluan, mungkin perkara sama dapat diperluaskan ke peringkat pusat pula.
"Saya percaya, apabila kita memahami keadaan mereka, kita dapat menyantuni dan menyampaikan mesej keselamatan kebakaran dengan lebih berkesan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kempen julung kali diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti OKU pendengaran mengenai langkah keselamatan kebakaran serta cara membuat panggilan kecemasan melalui aplikasi SaveMe999 Deaf.
Katanya, peserta bukan sahaja menerima latihan asas keselamatan, malah berpeluang mencuba peralatan bomba dan memakai jaket keselamatan, merasai sendiri pengalaman tugasan sebenar anggota bomba.
"Program ini turut dibantu guru-guru bahasa isyarat bagi memastikan penyampaian maklumat lebih efektif.
"Mereka sangat teruja kerana dapat merasai beratnya peralatan dan pengalaman sebagai anggota bomba," katanya.