DENGKIL – “Umi jangan menangis, Alawi reda dengan apa yang ALLAH beri sebab penyakit ini makhluk Dia juga.”
Demikian kata Muhammad Alawi Mohd Turmadzi, 18, pelajar tahfiz yang disahkan menghidap penyakit jantung jarang ditemui, sindrom Brugada.
Ibunya, Khadijah Mohamad Nor, 42, berkata, penyakit itu dikesan selepas anak sulungnya pengsan di bilik air pada Disember lalu hingga kepalanya terhantuk.
“Pemeriksaan ECG (elektrokardiogram) mendapati bacaan jantung tidak normal sebelum doktor mengesahkan dia menghidap sindrom Brugada, gangguan genetik fungsi elektrik jantung yang boleh membawa kepada kematian mengejut,” katanya.
Pada Jun lalu, Muhammad Alawi selamat menjalani pembedahan memasang implantable cardioverter defibrillator (ICD) bernilai RM45,000 di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Kos bateri ditanggung syarikat pengeluar, Boston Scientific, manakala keluarganya hanya membayar bil hospital dengan bantuan Tabung Kasih HAWANA.
Khadijah berkata, rutin keluarga tidak banyak berubah tetapi mereka lebih peka kerana demam atau sakit kepala boleh mencetuskan serangan.
Cabaran terbesar adalah kewangan, namun doa, solat dan sedekah menjadi penawar paling mujarab, katanya.
Harapannya, anaknya yang menduduki SPM lebih awal tahun ini dapat menjalani hidup normal seperti remaja lain dan menjadi insan soleh yang membimbing keluarga ke syurga.