KES seorang bapa yang didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur baru-baru ini kerana memukul anak perempuannya yang enggan ke sekolah dan pulang lewat malam, mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Isu itu bukan sahaja mengenai masalah disiplin anak muda malah tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik mereka.
Dalam kes berkenaan, bapa tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan serius terhadap mangsa.
Kes itu sekali gus mengingatkan masyarakat bahawa tindakan mendisiplinkan anak secara keterlaluan membawa implikasi undang-undang.
Kes seumpamanya bukanlah perkara baharu, beberapa laporan sebelum ini menunjukkan ibu bapa atau penjaga dihadapkan ke mahkamah kerana memukul atau mendera anak sehingga mencederakan mereka.
Alasan yang biasa diutarakan ke mahkamah ialah mahu didik atau hukum anak yang dianggap nakal.
Jika melibatkan kes penderaan, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Seksyen itulah yang digunakan dalam kes pengabaian dan penganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, melibatkan penjaganya pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada empat tahun lalu.
Menariknya, undang-undang Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada ibu bapa atau penjaga, malah membolehkan tindakan diambil terhadap kanak-kanak atau remaja yang melakukan jenayah.
Bagaimanapun, prosiding akan dijalankan secara tertutup bagi melindungi identiti pesalah muda.
Antara kes yang mendapat perhatian ialah melibatkan seorang remaja lelaki, ketika kejadian berusia 16 tahun, didapati bersalah membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat dalam kebakaran September 2017.
Pesalah juvana yang kini berusia 24 tahun, dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2020 selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan berkenaan kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan di Putrajaya masing-masing pada 11 September 2023 dan 21 Mac 2024.
Kes melibatkan pelajar bawah umur yang berdepan pertuduhan jenayah juga berdepan hukuman lain termasuk ditempatkan di Sekolah Henry Gurney.
Terbaharu ialah kes di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak pada 17 Jun lalu, melibatkan kes remaja lelaki berusia 15 tahun.
Dia dihukum selama enam tahun di sekolah berkenaan dan denda RM1,500 kerana memandu secara melulu sehingga mengorbankan lima nyawa di Jalan Teo Kui Seng (Jalan Stutong Baru) pada Januari lalu.
Selain itu, terdapat juga remaja yang dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selepas mengaku bersalah atas kesalahan lebih ringan.
Contoh kes itu ialah membabitkan seorang pelajar berusia 17 tahun, yang mengaku bersalah atas tuduhan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR secara melulu dan membahayakan orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.
Pada 20 November 2024, Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan mengenakan pesalah itu bon berkelakuan baik setahun dengan cagaran RM1,000 termasuk lesen memandu digantung selama lima tahun.
Bagi kes lain, hukuman berbentuk pemulihan seperti penempatan di institusi akhlak, kaunseling dan bon berkelakuan baik juga menjadi pilihan supaya mereka diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Pesalah juga boleh dikenakan hukuman khidmat masyarakat sekiranya mereka terlibat dengan jenayah seperti mencuri, merosakkan harta atau membuli rakan sebaya.
Salah satu kes yang mendapat perhatian ramai ialah melibatkan seorang remaja yang dimandikan seperti jenazah oleh jemaah sebuah masjid di Kuang, Rawang kerana tertuduh cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari 2022.
Mahkamah Majistret Selayang pada 13 Januari tahun sama, memerintahkan pesalah berusia 19 tahun itu, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000.
Bagaimanapun, empat hari kemudian, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman berkenaan dan digantikan dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam selama enam bulan.
Mahkamah berpendapat, hukuman itu merupakan langkah rehabilitasi dan pendidikan.
* Noor Azlida Alimin ialah Wartawan Meja Jenayah, Mahkamah