Rumah selamat atau tidak: Perlindungan, sokongan elak kes babit kanak-kanak

Iklan
Kejadian dera menimbulkan persoalan mengenai keselamatan kanak-kanak di rumah sendiri. Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan ketakutan dan kelaparan di Nilai, Negeri Sembilan.

Kisah mangsa menjadi lebih menyentuh hati apabila badannya didapati mempunyai kesan kecederaan, dipercayai akibat penderaan.

Iklan
Iklan

Siasatan lanjut juga mendapati bahawa mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 2020, selepas mengalami kecederaan ‘nonaccidental injury’ iaitu berupa kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan,

Setakat ini siasatan polis masih dijalankan selepas ibu kandung dan bapa tiri mangsa berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Kejadian berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan kanak-kanak di rumah sendiri walaupun pelbagai kempen kesedaran dan program pendidikan telah dijalankan pihak berkuasa.

Ia menunjukkan keperluan pengawasan dan sokongan awal yang lebih mantap di peringkat keluarga dan komuniti.

Iklan

Rumah sepatutnya menjadi tempat selamat bagi kanak-kanak, namun pengalaman mangsa menekankan bahawa perlindungan fizikal dan emosi sama pentingnya dengan kasih sayang.

Dari sudut psikologi, pengalaman traumatik boleh meninggalkan kesan jangka panjang seperti masalah keyakinan diri, tekanan emosi dan kesihatan mental yang menjejaskan pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak.

Dengan sesi persekolahan yang hampir bermula, tekanan emosi ini juga berpotensi menjejaskan prestasi akademik serta interaksi sosial mangsa dengan rakan-rakan sekelas.

Kejadian ini turut menunjukkan peranan penting masyarakat dan individu dalam melindungi kanak-kanak, apabila seorang penghantar makanan yang bertindak pantas membantu menyelamatkan mangsa.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan namun tumpuan juga perlu diberikan kepada langkah pencegahan dan pendidikan keibubapaan agar tragedi sama tidak berulang.

Keselamatan kanak-kanak bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi memerlukan usaha bersama untuk memastikan mereka dilindungi sepenuhnya.

Setiap kanak-kanak berhak hidup dalam persekitaran selamat dan terjaga, kerana rumah yang selamat dan komuniti yang prihatin bukan sahaja membentuk masa depan generasi pelapis, tetapi juga mencerminkan tahap kesejahteraan sosial negara.