'Jalan terus, Datuk KP!'

Iklan
Mohd Yusoff tidak gentar menyingkap pelbagai kegiatan jenayah yang selama ini dianggap sebagai ‘rahsia terbuka’.

UGUTAN terhadap Ketua Polis Kelantan bukanlah satu perkembangan yang muncul secara kebetulan.

Hakikatnya, Datuk Mohd Yusoff Mamat sudah mula menerima ancaman sejak dari awal beliau memikul amanah sebagai Ketua Polis Kelantan pada Oktober 2024.

Iklan
Iklan

Ugutan tersebut dipercayai bermula susulan arahan tegas beliau secara lisan berkaitan semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia–Thailand ditutup lebih awal pada November tahun lalu, sebelum penutupan rasmi berkuat kuasa pada 1 Disember tahun sama.

Pada 20 Disember tahun lalu, ketika mengulas tekanan dan ugutan diterima, beliau menyatakan dengan tenang :"Tak ada masalah untuk saya. Bukan senang nak mati syahid. Tidur pun (boleh) mati".

Iklan

Kenyataan ini mencerminkan keteguhan prinsip seorang pegawai kanan polis yang sedar akan risiko jawatan disandang, namun tetap memilih untuk berpegang kepada amanah dan tanggungjawab.

Sejak awal lagi, ketegasan penguatkuasaan di Kelantan nyata berdepan pelbagai ugutan, tentangan dan tekanan.

Iklan

Selain isu pangkalan haram, Mohd Yusoff tidak gentar menyingkap pelbagai kegiatan jenayah lain yang selama ini dianggap sebagai ‘rahsia terbuka’.

Beliau membongkar penglibatan segelintir pengasas produk kosmetik didakwa terbabit dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram atau ‘cuci duit’, termasuk dakwaan pengaitan kegiatan tersebut dengan institusi tahfiz.

Pada masa sama, beliau berani menyorot secara terbuka isu sensitif seperti kes rogol suka sama suka di negeri ini, satu topik yang sering kali dielakkan kerana implikasi sosial dan persepsi masyarakat.

Sikap tegas ini mencerminkan keberanian bukan sahaja dalam menegakkan undang-undang, malah menyatakan pendirian moral jelas termasuk cadangan hukuman terhadap pelaku dan mangsa dinilai secara menyeluruh berasaskan prinsip keadilan serta pencegahan jenayah.

Pendedahan demi pendedahan ini jelas mengundang rasa tidak senang individu dan pihak tertentu, khususnya mereka yang berkepentingan atau terbabit secara langsung dengan kegiatan haram di sempadan atau di seluruh pelosok Kelantan.

Reaksi keras yang timbul membuktikan tindakan Mohd Yusoff benar- benar menggugat jaringan jenayah sedia ada, sekali gus menguji keberanian dan kesediaan semua pihak menerima perubahan.

Dalam konteks ini, ugutan terhadap Mohd Yusoff wajar dilihat sebagai risiko yang hampir tidak dapat dielakkan bagi pegawai kanan penguat kuasa undang-undang yang menjalankan tugas tanpa kompromi.

Lebih penting, situasi ini menguji sejauh mana sokongan institusi, kepimpinan negara dan masyarakat terhadap pegawai yang berintegriti.

Tambahan pula, usaha membanteras jenayah tidak boleh diletakkan di bahu individu semata-mata. Ia memerlukan sokongan menyeluruh daripada kerajaan, agensi penguat kuasa lain dan masyarakat awam.

Sokongan moral, perlindungan keselamatan serta pendirian politik yang jelas amat penting bagi memastikan pegawai yang tegas dan berprinsip tidak mudah dilemahkan oleh tekanan atau ugutan.

Tanpa sokongan padu semua pihak, mesej yang dihantar kepada penjenayah ialah ketegasan tidak boleh dipatahkan melalui ancaman.

Dalam landskap jenayah moden yang semakin licik dan tersusun, penguatkuasaan yang berani, bersih dan konsisten merupakan tunjang utama kepada keselamatan serta keadilan negara.

Kepimpinan Mohd Yusoff memperlihatkan bahawa integriti dan keberanian bukan sekadar slogan, tetapi prinsip yang perlu dipertahankan walau berdepan risiko. Jalan terus, Datuk!

*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Biro Kelantan