BUDI95: Tiada masalah dilaporkan, pemantauan terus dilaksanakan - Fahmi

Iklan
Fahmi berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Malaysia, JomPACT! di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan inisiatif BUDI Madani RON95 (BUDI95) melibatkan anggota polis dan tentera dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah setakat ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kerajaan menjalankan pemantauan susulan pelaksanaan awal subsidi itu yang bermula tengah malam tadi, sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) esok dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia pada 30 September.

Iklan
Iklan

"Setakat ini Kementerian Kewangan (MOF) belum melaporkan tetapi kalau kita lihat dalam media sosial ada yang telah membuat hantaran (dalam media sosial) seawal jam 12.01 tengah malam tadi pengalaman mereka membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.

"Hari ini dalam kalangan polis dan tentera, esok penerima STR lebih lima juta yang layak dan 30 September nanti rakyat Malaysia amnya. Jadi kita akan terus pantau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact! di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di sini pada Sabtu..

Iklan

Bermula tengah malam tadi, sebanyak 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter selaras pengumuman Perdana Menteri pada 22 September lepas.

Selepas anggota tentera dan polis, penerima STR yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 September, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 Sept ini.

Iklan

Fahmi berkata, kerajaan juga bersedia untuk membuat sebarang penyesuaian teknikal sekiranya diperlukan, terutama dari aspek kapasiti sistem bagi memastikan kelancaran transaksi.

"Seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut Jumaat lepas, keupayaan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hanya 3,000 transaksi seminit berbanding Touch 'n Go dan Touch 'n Go Digital yang mampu mengurus lebih 30,000 transaksi seminit. Jadi jumlah itu cukup besar dalam tempoh satu hari.

"Jadi kita akan pantau dulu hari ini, esok dan sekiranya perlu kita buat apa-apa penyesuaian terutama dari segi keupayaan capaian untuk server (pelayan), itu dapat kita persiapkan menjelang 30 September," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, keputusan mengenai permintaan peruntukan daripada kementerian tertentu untuk Belanjawan 2026 akan ditentukan oleh MOF dan Perdana Menteri serta hanya akan diketahui ketika pembentangan pada 10 Oktober depan.

Mengenai program Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact!, Fahmi berkata, inisiatif anjuran Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu berperanan melahirkan generasi guru yang lebih peka terhadap usaha mengurangkan penggunaan plastik pakai buang.

Beliau berkata, program yang disertai pelajar IPG itu penting untuk meningkatkan kesedaran ekologi dalam kalangan bakal guru yang kelak mendidik murid mengenai kepentingan membudayakan gaya hidup tanpa plastik pakai buang. - Bernama