Sifar kes culik untuk wang tebusan di Pantai Timur Sabah sejak 2020 - Saifuddin Nasution

Iklan
Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 APMM di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan pada Sabtu. Foto Bernama

SANDAKAN - Tiada lagi insiden penculikan untuk wang tebusan atau kidnap-for-ransom (KFR) di Pantai Timur Sabah dilaporkan sejak Januari 2020 hasil kawalan ketat di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil daripada perancangan dan pelaksanaan rapi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah kawalan operasi pusat.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkenaan Keselamatan Sempadan berkata, laporan berhubung penguatkuasaan, pemeriksaan, tangkapan serta insiden yang berlaku dibentang secara berkala.

"Sebelum ini, jenayah penculikan untuk wang tebusan berleluasa, (namun) sifar kes dilaporkan sejak Januari 2020. Itu bukan berlaku secara tiba-tiba, bukan terjadi begitu sahaja tetapi hasil perancangan. Ia hasil penempatan, pemantauan, kesiapsiagaan dan keupayaan aset yang diterajui polis di bawah ESSCom,” katanya.

Iklan

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) melibatkan anggota polis di stesen minyak Petronas Jalan Bokara di sini pada Sabtu.

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan akan terus memperkukuh peranan ESSCom bagi memastikan Pantai Timur Sabah kekal selamat dan kondusif untuk pembangunan ekonomi serta pelancongan.

Iklan

Beliau berkata, langkah itu penting kerana keselamatan yang terjamin menjadi penentu kepada pertumbuhan ekonomi setempat termasuk sektor pelancongan.

Tambah beliau, hasil keamanan yang diwujudkan, kerajaan yakin untuk memasarkan semula potensi pelancongan di Pantai Timur Sabah dengan membawa diplomat serta wakil asing melawat kawasan berkenaan termasuk ke pulau.

"Negara yang sebelum ini mengenakan sekatan perjalanan kerana peristiwa lepas kini berpeluang mengubah keputusan mereka dan memang ada beberapa negara yang sudah pun berbuat demikian. 

"Kejayaan ini membolehkan kita mencadangkan kepada mereka (negara luar) untuk menilai semula keputusan sekatan perjalanan," katanya.

Saifuddin berkata, kesan daripada keamanan di Pantai Timur Sabah dapat dilihat dengan cepat, antaranya peningkatan trafik penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Tawau.

"Kita ada sembilan kaunter imigresen di situ. Penerbangan antarabangsa dari China sahaja sudah mencecah empat hingga lima sehari. Jadi kita tidak boleh lagi menampung keadaan itu. Itu contohnya.

"Insiden penculikan untuk wang tebusan yang sebelum ini menyebabkan pelancong takut datang, kini tiada lagi. Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan ESSCom," katanya. - Bernama