MMA tolak dasar ubat generik wajib, bimbang hak pesakit tercabar

Iklan
MMA gesa kerajaan kawal selia TPA demi lindungi kepercayaan asas dalam hubungan doktor-pesakit - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak pelaksanaan dasar ubat generik wajib secara menyeluruh kerana didakwa mencabar etika profesional, menafikan hak pesakit dan berisiko menjejaskan rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Presidennya, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, pihaknya mengambil maklum tentang pekeliling baharu yang dikeluarkan oleh sebuah Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) bagi pihak sebuah institusi kewangan terkemuka yang mewajibkan preskripsi ubat jangka panjang ditulis menggunakan nama bahan aktif sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun MMA menyokong penggunaan ubat generik berkualiti kerana meningkatkan kemampuan dan akses, polisi yang memaksa penggunaannya secara total tidak boleh diterima kerana ia mengganggu pertimbangan klinikal doktor.

“Doktor dibimbing oleh Code of Professional Conduct Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta MMC Position Paper on Managed Care yang dengan jelas menyatakan bahawa pertimbangan klinikal seseorang doktor tidak boleh digantikan oleh dasar korporat.

Iklan

“Formulari boleh menjadi panduan tetapi tidak boleh memaksa rawatan. Pesakit pula mempunyai hak membuat pilihan bermaklumat mengenai rawatan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat keadaan tertentu seperti ubat dengan indeks terapeutik sempit atau apabila pesakit mengalami ketidakserasian terhadap kesan ubat, jenama tertentu diperlukan demi keselamatan dan keberkesanan.

Iklan

“Sebarang penggantian ubat mesti dijelaskan dan mendapat persetujuan pesakit.

“Pekeliling ini melangkaui usaha menggalakkan penggunaan ubat generik kerana ia mengalihkan kuasa pemilihan ubat daripada doktor kepada pihak pembayar korporat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Thirunavukarasu bimbang keadaan itu membuka ruang kepada keputusan berasaskan perolehan sekali gus meletakkan kepentingan komersial mengatasi kepentingan klinikal.

“Lama-kelamaan, kepentingan pesakit yang sepatutnya menjadi keutamaan utama doktor akan terjejas.

“Ini amat membimbangkan terutama dalam pengurusan NCD seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser yang melibatkan belanja hampir RM10 bilion setahun di Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian sebenar ialah menumpukan kepada pencegahan dan perubahan gaya hidup, bukannya sekadar penjimatan kos ubat melalui preskripsi generik wajib.

“Keutamaan nombor satu mestilah hasil rawatan pesakit, bukan kos perolehan. Sebarang sistem yang mengubah imbangan ini akan menjejaskan asas kepercayaan dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

Dr Thirunavukarasu turut mengingatkan bahawa sejak 1998, MMA telah memberi amaran tentang risiko campur tangan TPA dalam keputusan klinikal sekiranya tiada kawal selia rapi dilaksanakan kerajaan.

“Malangnya, walaupun kawalan terhadap profesion perubatan sering diperketat, kerajaan masih gagal mengawal selia entiti ini.

“Pekeliling seperti ini adalah akibat pengabaian tersebut dan mengancam untuk menghakis kepercayaan yang menjadi teras hubungan doktor-pesakit,” ujarnya.

Justeru, MMA menuntut kerajaan segera melaksanakan kawal selia terhadap TPA dan organisasi pengurusan penjagaan seperti dikehendaki di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Kesihatan Swasta (PHFSA) serta piawaian MMC.

“Polisi mesti menggalakkan penggunaan ubat generik sebagai pilihan pertama tetapi tidak boleh sekali-kali memaksakan penggunaannya. Doktor mesti dikekalkan kebebasan membuat keputusan profesional, manakala pesakit perlu dimaklumkan serta diberi kuasa memilih rawatan,” katanya.

Menurut beliau, apa yang dipertaruhkan bukan sekadar kawalan kos, tetapi integriti amalan perubatan dan kepercayaan rakyat terhadap doktor mereka yang sama sekali tidak boleh dikompromi.